Kerajaan gariskan 8 langkah strategik untuk tambah baik pengurusan bencana - Perdana Menteri | DagangNews Skip to main content

Kerajaan gariskan 8 langkah strategik untuk tambah baik pengurusan bencana - Perdana Menteri

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 4 Feb - Kerajaan menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) menggariskan lapan langkah strategik bagi menambahbaik pengurusan bencana negara.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, antara pendekatan yang digunakan termasuk pemerkasaan dasar, perundangan dan mekanisme berkaitan pengurusan bencana dan pengurangan risiko bencana (DRR).

 

Mesyuarat juga setuju supaya penekanan diberikan terhadap inisiatif DRR, menyediakan dana untuk pengurusan bencana dan DRR serta mengukuhkan mekanisme koordinasi dan kompetensi pemegang taruh pengurusan bencana.

 

Turut dipersetujui, ialah penambahbaikan sistem dan penyampaian maklumat dalam pengurusan bencana dan DRR, memperkasakan dasar dan mekanisme koordinasi bantuan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan, meningkatkan kemahiran dalam komunikasi krisis dan komunikasi strategik serta meningkatkan kapasiti komuniti setempat dan tumpuan terhadap 'localisation' dalam pengurusan dan DRR.

 

"Perluasan dasar DRR di peringkat negeri dan daerah dapat memastikan pengurusan bencana banjir dapat dipertingkatkan berikutan satu platform yang diwujudkan bagi menyimpan semua repositori daftar risiko secara sistematik," katanya dalam kenyataan, hari ini.

 

Mesyuarat itu juga memberi penekanan terhadap perancangan jangka pendek, sederhana dan panjang yang perlu dilakukan Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri supaya bencana banjir tidak memberikan impak besar kepada negara dan rakyat.

 

pm

 

Ismail Sabri berkata, kementerian dan agensi disaran untuk membuat penetapan sebanyak 5% daripada perbelanjaan mengurus dan pembangunan bagi tujuan pengurusan bencana pada masa akan datang. 

 

pm

 

Beliau berkata, kerajaan juga akan mewujudkan subjek utama dalam menangani bencana di pelbagai peringkat pendidikan, sekolah, kolej dan universiti akan dilaksanakan agar seluruh Keluarga Malaysia dapat mengadaptasi perkara ini sebagai norma baharu.

 

pm

 

"Mesyuarat juga bersetuju dengan penekanan terhadap konsep ‘whole of society approach’ yang perlu diterjemahkan dalam dasar, pengoperasian dan latih amal bencana dengan penglibatan bersama agensi kerajaan dan Organisasi Masyarakat Sivil (CSO). 
 

"Pada masa sama, pemerkasaan kapasiti komuniti setempat akan dipertingkatkan melalui ketua komuniti yang akan bertindak sebagai initial responder dan mereka akan dibekalkan dengan kelengkapan asas serta bantuan untuk melaksanakan tindakan awal," katanya. - DagangNews.com