KUALA LUMPUR 20 Jan - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan mengenal pasti tiga kelemahan utama yang perlu diberi perhatian semasa menguruskan bencana banjir yang melanda beberapa negeri sebelum ini.
Beliau berkata, antara cabaran tersebut termasuk kelemahan dari segi pemahaman dalam kalangan agensi-agensi berkaitan di di peringkat pusat, negeri dan daerah serta badan berkanun, pihak swasta dan pertubuhan bukan kerajaan berkaitan tanggungjawab mereka di bawah Arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) No. 20 di peringkat sebelum, semasa dan selepas bencana.
Beliau berkata, ketiadaan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) di negeri dan daerah menyukarkan koordinasi secara terus dengan agensi-agensi di lapangan dan kerjasama dengan kerajaan negeri serta tempatan adalah perlu dalam memastikan keberkesanan pengurusan bencana negara.
Perdana Menteri berkata, struktur organisasi sedia ada juga membataskan keupayaan NADMA untuk menyelaras tindakan pengurusan bencana dan kekangan itu menyebabkan mereka tidak dapat menguruskan bencana secara terus di peringkat negeri dan daerah.
"Pada masa ini, pengurusan bencana negara masih mengamalkan kaedah pengumpulan maklumat secara konvensional dan tidak seiring dengan perkembangan teknologi semasa. Situasi ini menyebabkan proses penyediaan laporan, penganalisaan, pembuatan keputusan dan pengurusan data mempunyai kelemahan yang ketara.
"Penyaluran maklumat dengan lebih pantas dan tepat kepada agensi-agensi tindak balas dan mangsamangsa banjir masih perlu diperbaiki," katanya semasa Mesyuarat Khas Penggal Keempat Parlimen Ke-14 di Dewan Rakyat, hari ini.
Ismail Sabri berkata, beliau sudah mengarahkan agensi bertanggungjawab untuk mempercepatkan pembangunan Fasa Ke-2 Program Ramalan dan Amaran Banjir (PRAB) yang diuruskan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) meliputi 38 lembangan sungai utama seluruh negara bagi membolehkan ramalan awal banjir yang lebih tepat dikeluarkan.
Beliau juga mahukan kaedah hebahan terbaik dan terpantas dalam mengeluarkan amaran awal serta arahan bersedia kepada penduduk seperti menggunakan aplikasi WhatsApp dan push notification melalui kerjasama dengan syarikat-syarikat telekomunikasi.
Perdana Menteri berkata, agensi di bawah Jawatankuasa Pengurusan Bencana di setiap peringkat perlu memainkan peranan selaras dengan Arahan MKN No. 20 selain pemerkasaan peranan serta sumbangan organisasi masyarakat sivil (CSO) dalam pengurusan bencana.
"Bagi penyediaan makanan kepada mangsa banjir pula, penggunaan teknologi retort ataupun makanan sedia dimakan (meals ready to eat) untuk diedarkan kepada mangsa banjir kerana kaedah pembungkusan tersebut lebih tahan lama dan kalis air.
"Selain itu, pemerkasaan komuniti perlu dipertingkatkan lagi bagi mewujudkan masyarakat yang berdaya tahan terhadap bencana. Peranan setiap ahli komuniti sebagai first responder apabila berlaku sebarang bencana perlu diterapkan dan bukan hanya bergantung kepada agensi penyelamat semata-mata," katanya.
Bagi penyelesaian jangka panjang, Perdana Menteri berkata, aspek pengurangan risiko bencana (Disaster Risk Reduction –DRR) perlu ditambah baik secara menyeluruh dalam setiap aspek selain komunikasi, pendidikan dan kesedaran awam (Communication, Education and Public Awareness – CEPA) merupakan kunci yang perlu dilaksanakan secara berterusan bagi membentuk budaya perkongsian tanggungjawab.
Beliau berkata, pihak berkuasa tempatan perlu sentiasa memainkan peranan seperti memastikan saluran longkang monsun khususnya di bandar dan pinggir bandar sentiasa berada dalam keadaan baik dan tidak tersumbat dengan sampah sarap bagi mengurangkan risiko banjir kilat yang boleh membawa kepada kerosakan harta benda.
"Saya juga telah mengarahkan NADMA mempercepatkan penggubalan Akta Pengurusan Bencana.
"Saya selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat akan memanggil mesyuarat yang melibatkan Menteri-Menteri Besar, Ketua-Ketua Menteri, Setiausaha-Setiausaha Kerajaan Negeri serta wakil-wakil Kerajaan Negeri untuk kita membuat perancangan jangka panjang yang menyeluruh bagi
mengatasi masalah banjir," katanya. - DagangNews.com