MERREPAK oleh JOHARDY IBRAHIM
SEPERTI yang ramai risau dan cemas, kerajaan mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuatkuasa 7 Mei 2021 sampai lepas Aidilfitri, dan akan disambung jika angka kes positif COVID-19 tidak menyusut.
Baca dengan teliti ayat di atas. Risau dan cemas terhadap PKP. Inilah hakikatnya, ya? Bukan risau dan cemas terhadap angka kes positif pandemik yang mencatat hampir 5,000 kes sehari pada 8 Mei 2021.
Orang risau kerana PKP ini bermakna buat kali kedua Aildilfitri kita tidak boleh beraya di kampung bersama ibu bapa dan sanak-saudara.
Bagaimana kita hendak memberitahu orang ramai (sebilangan sahaja, bukan 100%) bahawa perintah ini bukan saja-saja hendak mendera, menyeksa atau mengharu-birukan jiwa perasaan anda di pagi Raya, terkenangkan kampung halaman, ayah ibu tercintanun jauh di sana.
Nampak ada sesetengah individu dan kelompok kecil berterusan mempersoalkan, malah ke satu tahap seolah-olah memperlekehkan apa sahaja yang sedang diusahakan bagi mengekang merebaknya pandemik ini.
Mereka tidak percaya COVID-19 ini benar-benar suatu wabak. Tergamak mengatakan ia hanya demam biasa. Mereka kata, kebenaran akan terkeluar satu hari nanti. Bahawa COVID-19 hanya satu benda untuk menakut-nakutkan rakyat, dan lebih menyayat hati, sebagai alasan untuk tidak mengadakan sidang Parlimen.
Mereka berhujah seolah-olah COVID-19 ini hanya mengena orang lain, jauh dari pintu pagar rumah dan mereka tidak akan terjangkit sama sekali, mungkin kebal. Malah, sesiapa sahaja yang tidak sependapat, dianggap tidak pintar, terbelenggu oleh dakyah kerajaan, kata mereka.
Begitu juga bagi kluster politik. Semua tindakan yang dibuat kerajaan diperlekehkan, semua tidak betul. Disediakan peruntukkan, dikata tidak cukup. Dibuat hutang bon, didakwa pembaziran. Dilaksana PKP, dituduh tidak tahu menahu mengurus, pusing-pusing guna formula serupa.
PKP 2.0 dikata gagal. Kenapa tak guna pendekatan PKP 1.0? Kalau guna PKP 1.0 nanti merungut lagi disebabkan serba-serbi aktiviti tidak boleh dilakukan. PKP 3.0 aktiviti ekonomi masih dibenarkan tetapi di dalam daerah masing-masing sahaja. Memanglah ada kekurangan. Kalau tidak ada kekurangan, tidaklah ia dinamakan PKP.
Kerajaan Gagal?
Satu lagi benda yang tular ialah dakwaan bahawa kerajaan tidak tahu menguruskan pandemik, malah dituduh gagal. Malaysia dibandingkan cara pengurusannya dengan negara asing.
Malah jiran tetangga Indonesia dilapor menggunakan Malaysia sebagai contoh untuk tidak diikuti kerana tidak mematuhi SOP. Indonesia pada masa ini mencatat kes positif harian antara 4,000 hingga 6,000 sehari. Tidak mengapalah dia hendak petik Malaysia sebagai contoh sama dengan India.
Merrepak tidak berhasrat untuk `membela’ kerajaan pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin ini secara sembrono. Kerajaan Perikatan Nasional beliau ini menyaksikan dua menteri UMNO yang sering paling di hadapan iaitu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan YB Khairy Jamaluddin. Yang membidas PN dari kalangan UMNO ini hendak apa sebenarnya?
Tiada pengalaman?
Daripada segi pengalaman, memanglah tiada mana-mana negara di dunia pun ada pengalaman menangani pandemik sebegini dahsyat. Dulu kita dengar H1N1, virus Nipah. Kita kekang pengimportan ayam, lupuskan babi maka berjayalah membendungnya.
COVID-19 ini bukan pembawaan burung atau mergastua. Ia boleh menjangkiti orang menerusi udara yang kita sedut. Boleh jangkit dengan sentuhan tangan. Dan baru kita tahu, dia boleh menyorok daripada dikesan menerusi ujian swab.
Jadi orang kata sesudah setahun, kerajaan patut belajar daripada pengalaman dan menyusun strategi dengan betul. Bukan pusing round-about, tidak pandai dan tidak telus.
Kita hendak jawab ringkas: seandainya betullah Kementerian Kesihatan kita seteruk yang didakwa itu, kes positif harian Malaysia pasti menyamai atau melebihi kes harian Indonesia sejak Januari lepas.
Namun, Kementerian Kesihatan menggunakan analisis data, malah sudah mengunjurkan Mei dan Jun bakal menyaksikan kenaikan angka disebabkan pergerakan raya Krismas dan Tahun Baru Cina pada Februari lepas.
Anda akan tahu sekiranya anda melengkapkan diri anda dengan membaca berita sahih menerusi media utama, bukan baca perenggan sekerat dengan tajuk besar di Facebook dan Twitter semata-mata.
Kisah benar Kluster Pasai
Mungkin cara yang dilakukan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah baru-baru ini wajar dijadikan cara sebenar menyampaikan `kisah benar’.
Ini kerana sekian lama, kerajaan menggunakan kaedah `menutup aib’ dengan menyebut secara umum sahaja sesuatu kes. Misalnya kes kilang membuat sarung tangan getah, tidak disebut pun nama syarikat. Yang disebut nama kod. Sebab itu orang yang tidak mengikuti kes, hanya nampak nama bunga atau jalan.
Beberapa hari lepas, Dr. Hisham semasa sidang media menceritakan bagaimana kes COVID-19 di Sarawak meletup-letup di sebalik kerajaan negeri menghabiskan berjuta ringgit mengadakan perintah kuarantin di hotel bagi sesiapa yang masuk ke negeri itu.
“Dia balik kampung di Sarawak dari Johor. Ada kematian katanya, Jadi dia pun dapat kebenaran pulang dan rentas negeri.
“Pemeriksaan mendapati dia negatif. Tapi kepulangannya di kampung membawa kepada 2,693 kes positif dan 29 kes kematian!”.
Nama kod kes ini ialah `Kluster Pasai’. Sebelum ini, mungkin anda hanya terbaca berkenaan pembawa virus ini menerusi media sosial. Tetapi disebabkan tiada pengesahan, ramai baca begitu sahaja.
Sehinggalah Dr. Hisham sendiri menceritakannya, mengesahkan cerita ini. Baharulah kita faham. Bab insaf tidak pasti. Sebab marah tak dapat balik kampung, masih membara.
Ceritakan kes tanpa rahsia
Tetapi berhentilah sekejap, tarik nafas anda dan teliti kes ini. Lelaki itu tidak bersalah sebab niatnya mahu memberi penghormatan terakhir kepada ahli keluarga yang meninggal. Dia pula sudah menjalani ujian saringan. Keputusan negatif.
Pihak berkuasa pun tidak bersalah sebab atas dasar kemanusiaan maka diberi kebenaran untuk lelaki itu merentas negeri dan memasuki negeri. Jadi kita kembali kepada peraturan asas : jangan keluar dari rumah. Supaya kita tidak dijangkiti dan kita tidak menjangkiti orang lain.
Cerita secara terperinci tanpa menggunakan nama kod, wajar menjadi pendekatan oleh pihak berkuasa. Tidak perlu sorok-sorok, tidak perlu kias-kias, tidak perlu nama samaran.
Rakyat mahukan kebenaran, mereka mahu kisah benar. Pengkisahan kes Kluster Pasai itu memberi impak kuat kerana itulah yang dimahukan rakyat.
Kisah benar ini akan mengurangkan cubaan sesetengah insan yang dalam tahap kedunguan tersendiri mereka, masih menganggap COVID-19 ini hanya rekaan kerajaan untuk terus berkuasa. - DagangNews.com
MERREPAK adalah ruangan pojok setiap Ahad oleh Johardy Ibrahim sebagai Pengarang Urusan DagangNews.com - menyentuh mengenai apa sahaja yang mencuit jiwa perasaan seminggu ini atau yang menyebabkannya mendengar lagu Father & Son oleh Yusuf Islam berulang-ulang kali.
*Merrepak atau Krepak adalah dialek Melayu Sarawak bersamaan maksud `membebel'.