KUALA LUMPUR 2 Okt - Kerajaan akan memastikan pemilikan kenderaan elektrik (EV) tersedia kepada semua kumpulan pendapatan melalui subsidi dan bantuan kewangan bersasar.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pada masa yang sama, kerajaan juga akan meningkatkan usaha mengembangdan meningkatkan infrastruktur pengecasan EV di negara ini.
“Melihat masa depan dan Bajet 2024, tumpuan kami kekal pada keterangkuman, sejajar dengan Rangka Kerja Ekonomi Madani,” katanya ketika berucap semasa pelancaran Pusat Tesla pertama di Cyberjaya, hari ini, lapor Bernama.
Beliau berkata, pelaksanaan dasar dan inisiatif telah memberi impak positif kepada industri automotif tempatan, mencerminkan komitmen kerajaan dalam membangunkan ekosistem EV holistik di negara ini.
Bilangan EV berdaftar meningkat kepada lebih 3,400 unit pada 2022 dan melebihi 7,500 unit menjelang September 2023, berbanding purata 300 unit pada tahun-tahun sebelumnya.
“Tambahan pula, pelaburan dalam industri EV telah mencecah RM26.2 bilion dari 2018 hingga Mac tahun ini,” katanya.
Sementara itu, Tengku Zafrul berkata dasar EV itu juga mesti selari dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Baharu 2030 (NETR 2030) yang dilancarkan baru-baru ini.
"Ia penting kerana tidak ada gunanya mempunyai beribu-ribu EV di jalan raya jika Malaysia tidak 'menghijaukan gridnya' dengan cukup pantas dengan membangunkan lebih banyak sumber tenaga boleh diperbaharui (RE)," katanya, sambil menyatakan bahawa NETR bertujuan untuk mempercepatkan pelaburan dalam infrastruktur grid, dengan insentif untuk pembangunan TBB.
Dalam perkembangan sama, Tengku Zafrul berkata, kehadiran Tesla di Malaysia akan meningkatkan ekosistem EV dan meningkatkan potensi negara sebagai hab pengeluaran EV serantau, yang boleh menarik pelaburan selanjutnya dalam sektor itu.
Dengan kehadiran Tesla, Malaysia bersedia untuk mempercepatkan peralihan kepada EV dan negara bersedia untuk melihat lonjakan dalam kemajuan teknologi, penyelidikan dan pembangunan dalam sektor berkenaan.
“Kami berharap untuk melihat lebih ramai bakat tempatan dipupuk, lebih banyak perniagaan tempatan berkembang maju dalam rantaian bekalan EV, dan lebih banyak inovasi yang akan meletakkan Malaysia pada peta global pengangkutan mampan,” katanya. - DagangNews.com