KUALA SELANGOR 20 Okt - Kerajaan sentiasa berusaha memastikan Keluarga Malaysia termasuk kalangan usahawan dan koperasi untuk terus mengecapi kemakmuran.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, penganjuran Karnival Usahawan dan Koperasi Keluarga Malaysia Selangor, hari ini disifatkan manifestasi tanggungjawab kerajaan kepada rakyat.
Katanya, ia adalah bukti kerjaaan menyediakan sebuah ekosistem keusahawan yang holistik dan kondusif.
Perdana Menteri turut percaya, ramai yang menyedari bahawa sektor koperasi yang wujud sejak 100 tahun lalu telah banyak menyumbang kepada pembangunan negara.
"Tahun hadapan, sejumlah RM100 juta diperuntukkan untuk Tabung Modal Pusaingan Suruhanjaya Koperasi Malaysia bagi menyediakan pembiayaan kepada koperasi dalam mengembangkan industri agromakanan.
"Usaha ini turut disokong Program Pemerkasaan Rantaian Bekalan Koperasi ke arah memastikan bekalan barangan makanan dan keperluan pengguna sentiasa konsisten pada harga yang lebih murah," katanya ketika merasmikan Karnival Usahawan dan Koperasi Keluarga Malaysia Selangor, hari ini.
Mengulas mengenai karnival tersebut, Perdana Menteri percaya program seumpama itu dapat memperkasa usaha dan koperasi untuk terus berkembang maju dan berdaya saing dalam bidang perniagaan.
Walaupun hanya diadakan selama sehari, Ismail Sabri berkata, ia telah berjaya menghimpunkan hampir 10,000 pengunjung termasuk usahawan, koperasi, penjaja, peniaga kecil, trak makanan yang menawarkan pelbagai produk dan barangan pada harga berpatutan.
Namun begitu, beliau difahamkan program tersebut tidak mendapat persetujuan Kerajaan Negeri Selangor.
"Saya difahamkan agak sukar melaksanakan program hari ini kerana Kerajaan Negeri Selangor tak bersetuju dan tak benarkan penggunaan tapak ini tetapi nasib baik tapak program ini adalah tapak swasta jadi mereka tak boleh halang.
"Kita buat ini untuk kepentingan penjaja dan usahawan di Selangor, bukan untuk berkempen tetapi nak beri ruang kepada peniaga dan usahawan kecil.
"Begitulah sebenarnya sikap mereka terhadap golongan penjaja. Nasib baik kita ada Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar yang prihatin menjaga kepentingan usahawan.
"Kita tak kira, walaupun tak dibenarkan tapi kita berusaha untuk pastikan program yang menjaga dan membela kepentingan usahawan ini kita laksanakan," katanya. - DagangNews.com