Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 2 Sept. - Kerajaan akan membuat kawalan ke atas harga borong dan runcit maksimum bagi kit ujian pantas antigen COVID-19 (ujian sendiri), berkuat kuasa 5 September 2021.
Ini melibatkan penetapan harga siling runcit pada kadar RM19.90, sementara harga borong ditetapkan pada RM16, masing-masing bagi 1 set kit ujian tersebut yang tertakluk di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 serta Akta Kawalan Bekalan 1961.
Menurut kenyataan bersama Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, penentuan harga maksimum borong dan runcit kit ujian tersebut dibuat mengikut kewajaran dan kesesuaian bagi penguatkuasaan yang lebih berkesan dalam memastikan harga yang berpatutan dan keberadaan bekalan di pasaran bagi manfaat pengguna dan peniaga.
“KPDNHEP dan KKM akan bekerjasama dalam melaksanakan penentuan harga borong dan runcit bagi kit ujian pantas antigen COVID-19 (ujian sendiri). Kerajaan sedar bahawa situasi COVID-19 di negara kita dan di seluruh dunia masih belum pulih malah situasi yang sedang melanda pada masa sekarang adalah lebih mencabar.
“Sehubungan itu, permintaan terhadap kit ujian pantas antigen COVID19 (ujian sendiri) dijangkakan meningkat susulan kesedaran orang ramai bagi membuat ujian sendiri untuk memastikan diri bebas dari wabak COVID-19.
“Kit Ujian Pantas Antigen COVID-19 (Ujian Sendiri) yang akan dikawal adalah merupakan suatu peranti yang diluluskan secara bersyarat oleh Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA), KKM bagi pengesanan antigen yang menyebabkan Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19) dengan menggunakan sampel bendalir mulut atau swab hidung,” jelas kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu lagi, penetapan harga maksimum tersebut adalah susulan pemantauan harga di semua premis dan farmasi di seluruh negara; maklum balas dari agensi kerajaan seperti MDA, KKM, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM); dan perbincangan dengan pengilang, pengimport, peruncit dan persatuan farmasi barangan tersebut.
Individu yang didapati bersalah menjual melebihi harga maksimum boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000.
Sementara, syarikat pula boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000. - DagangNews.com