Kerajaan tingkatkan kecekapan perbelanjaan, kurangkan ketirisan dan pembaziran - PM Anwar | DagangNews Skip to main content

Kerajaan tingkatkan kecekapan perbelanjaan, kurangkan ketirisan dan pembaziran - PM Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Dasar Fiskal (FPC), hari ini.
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 11 Sept - Kerajaan akan meneruskan usaha bagi meningkatkan kecekapan perbelanjaan serta mengurangkan ketirisan dan pembaziran, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

 

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, langkah konsolidasi fiskal akan terus dilaksanakan secara berperingkat bagi membina semula ruang fiskal disamping mengurangkan paras hutang dan liabiliti kerajaan.

 

Beliau juga menekankan bahawa, dalam melaksanakan reformasi fiskal, adalah penting untuk mengimbangi keperluan pengembangan ekonomi dan menjaga kebajikan rakyat.

 

“Walaupun kita terpaksa melakukan reformasi yang mungkin memedihkan untuk memperluas hasil negara dan menutup ketirisan daripada subsidi pukal, kita juga perlu cakna akan tantangan kos sara hidup yang dihadapi rakyat, lebih-lebih lagi dalam suasana ekonomi global tidak menentu.

 

“Pendirian saya tidak pernah berganjak dalam memastikan reformasi fiskal ini tidak sama sekali membebankan rakyat yang memerlukan, malah reformasi fiskal ini masih  perlu mengambil kira perbelanjaan untuk merancakkan ekonomi dan pelaburan. 

 

PM
Datuk Seri Anwar Ibrahim

 

"Maka, jujukan dan skop reformasi fiskal mesti dipertimbangkan agar ia tidak membawa kejutan yang drastik kepada ekonomi atau rakyat," katanya dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Dasar Fiskal (FPC), hari ini.

 

Mesyuarat FPC itu adalah bagi meneliti perkembangan ekonomi negara dan kedudukan fiskal kerajaan terkini serta unjuran fiskal jangka sederhana sebagai persediaan Belanjawan 2024.

 

Anwar berkata, jawatankuasa itu berpendapat bahawa masih ada ruang untuk terus menambah baik strategi, tatakelola, dan kecekapan dalam pengurusan kewangan negara. 

 

Beliau berkata, ia termasuk merangka strategi dan inisiatif bagi memantapkan lagi pengurusan hasil negara untuk memastikan kemampanan penjanaan hasil.

 

Katanya, dengan jangkaan kelembapan ekonomi dan perdagangan global, Malaysia juga akan terkesan dengan pertumbuhan ekonomi negara dijangka menyederhana, namun masih sejajar dengan unjuran kerajaan sebanyak 4% hingga 5% untuk tahun ini. 

 

"Pertumbuhan ini sebahagian besarnya didorong oleh permintaan domestik, seperti yang dicatatkan oleh pertumbuhan separuh pertama 2023 sebanyak 4.2%. 

 

"Kerajaan akan terus menggunakan seluruh kekuatan dan tenaga bagi mempercepat pelaksanaan semua langkah yang digariskan di bawah Belanjawan 2023 serta rangka kerja Ekonomi Madani,” katanya.

 

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, jawatankuasa juga sebulat suara bersetuju mengenai kepentingan dan kesegeraan untuk membentangkan Rang Undang-undang Tanggungjawab Fiskal (FRA) di Parlimen pada bulan depan.

 

Katanya, FRA yang digubal bersesuaian dengan konteks Malaysia, dijangka akan dapat menambah baik rangka kerja perundangan fiskal negara.

 

"FRA mengandungi prinsip pengurusan fiskal yang kukuh dengan memberi penekanan kepada tatakelola, kebertanggungjawaban dan ketelusan dalam pengurusan kewangan awam.

 

"Akta ini juga akan menekankan kebertanggungjawaban Menteri Kewangan kepada Parlimen dalam melaksanakan tanggungjawabnya menggubal dasar fiskal dan mengurus wang awam," katanya.  - DagangNews.com