Kereta nasional akan terus jadi pilihan utama berbanding jenama luar - AmInvest | DagangNews Skip to main content

Kereta nasional akan terus jadi pilihan utama berbanding jenama luar - AmInvest

Proton dan Perodua

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 19 Julai - Syarikat automotif Proton dan Perodua akan terus menerajui dan menjadi pilihan utama sektor automotif negara berbanding jenama-jenama luar.

 

AmInvest Research berkata, ini kerana kedua-dua jenama nasional itu menawarkan harga menarik dan nilai yang unggul berbanding jenama bukan nasional seperti Toyota, Nissan dan Honda.

 

"Model Perodua jenis SUV seperti Ativa, Aruz, Proton X70 dan X50 bukan hanya menawarkan harga yang menarik berbanding model seumpanya, malah menawarkan lebih banyak ciri teknologi dalaman bagi pemanduan yang unggul.

 

"Model X50 pula adalah kenderaan yang pertama dalam pasaran domestik dengan automosi Tahap 2," kata AmInvest Research.

 

Dalam nota kajian sama, AmInvest Research memberitahu, pihaknya menjangkakan peningkatan jualan kenderaan (TIV) pada suku keempat 2021 (4Q21) dengan purata sebanyak 50,000 hingga 60,000 unit sebulan.

 

Jangkaan itu dinilai berdasarkan kepada kelonggaran sekatan pergerakan secara beransur-ansur di seluruh dunia seiring dengan peningkatan populasi vaksinasi global.

 

Perkembangan tersebut memberi 'lampu hijau' kepada peningkatan aliran tunai perniagaan sekali gus mengurangkan gangguan rantaian bekalan.

 

"Pengeluaran kenderaan domestik juga akan kembali normal dengan pengurangan beransur-ansur masalah berkaitan kekurangan cip khususnya Perodua Myvi.

 

"Berdasarkan kepada pemeriksaan kami, kami dapati bahawa Perodua sedang berusaha mencari pengganti dalam rantaian bekalan," ujar AmInvest Research lagi.

 

AmInvest Research mengambil pendekatan mengekalkan saranan 'beli' saham DRB-Hicom dengan nilai RM2.38 sesaham dan MBM Resources (FV RM4.51 sesaham).

 

Saranan berkenaan dibuat berdasarkan dominasi Proton dan Perodua dalam sektor automotif negara. - DagangNews.com