Kerjasama Lagenda Property, Inta Bina tubuhkan syarikat Lagenda Inta untuk projek perumahan mampu milik | DagangNews Skip to main content

Kerjasama Lagenda Property, Inta Bina tubuhkan syarikat Lagenda Inta untuk projek perumahan mampu milik

Pengarah Urusan Lagenda Properties, Datuk Jimmy Doh (kiri) menandatangi perjanjian kerjasama dengan Inta Bina yang diwakili Pengarah Urusannya, Paul Lim Ooi Joo bagi membentuk syarikat baharu yang dikenali sebagai Lagenda Inta.
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 Jan - Pemaju perumahan mampu milik, Lagenda Properties Berhad menjalinkan kerjasama dengan Inta Bina Group Berhad bagi membentuk sebuah syarikat baharu yang dikenali sebagai Lagenda Inta Sdn. Bhd. 

 

Menerusi jalinan kerjasama itu, kedua-dua syarikat induk akan memiliki pemilikan yang seimbang dengan tujuan asal penubuhannya adalah untuk menjalankan kerja-kerja pembinaan milik Lagenda Properties.

 

Kerjasama itu juga adalah sinergi bersama dalam menggunakan kemahiran pembinaan Inta Bina dalam mengembangkan projek pembangunan perbandaran Lagenda Properties di Perak serta projek baharu yang akan dilancarkan di Kedah, Johor dan Pahang.

 

Pengarah Urusan Lagenda Properties, Datuk Jimmy Doh berkata, pihaknya gembira dengan kerjasama yang akan memberikan keuntungan kepada kedua-dua syarikat dan pembentukan syarikat itu dijangka memberi peningkatan kepada pendapatan mereka.

 

"Kami akan memberikan kontrak pembinaan kepada syarikat yang baru dibentuk ini berdasarkan kepada kos yang kami tetapkan dan saya percaya dengan rekod yang dimiliki Intan Bina dari segi kualiti dan tempoh masa pembinaan.

 

"Kami juga percaya kerjasama ini adalah langkah penting dalam mengukuhkan kedudukan kami sebagai pemaju perumahan mampu milik di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan.

 

Sementara itu, Pengarah Urusan Inta Bina, Paul Lim Ooi Joo berterima kasih kepada Lagenda Properties kerana memberikan peluang kepada mereka untuk menampilkan kemahiran mereka dalam membangunkan projek yang diberikan kepada Lagenda Inta.

 

"Kerjasama ini adalah selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang berhasrat menyediakan lebih banyak rumah mampu milik di seluruh negara.

 

"Selama beberapa tahun ini, Inta Bina sudah menyiapkan lebih daripada 130 projek pembinaan merangkumi rumah teres, banglo, kondominium dan kilang," katanya. - DagangNews.com