Kerugian 5 hospital KPJ dijangka berkurangan 50% pada FY24 didorong kehadiran pesakit yang tinggi | DagangNews Skip to main content

Kerugian 5 hospital KPJ dijangka berkurangan 50% pada FY24 didorong kehadiran pesakit yang tinggi

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 Feb - Kenanga Research menjangkakan kerugian lima hospital KPJ Healthcare Bhd yang masih di bawah tempoh tunggu hasil akan berkurangan sebanyak 50% pada FY24 didorong tambahan pendapatan daripada kehadiran pesakit yang tinggi.

 

Katanya, jumlah kerugian RM137 juta yang dicatatkan lima hospital itu pada FY23 akan dikurangkan separuh kepada RM69 juta atau 25% daripada keuntungan bersih FY24.

 

Firma penyelidikan itu juga menjangkakan, pendapatan kumpulan itu akan mencatatkan peningkatan ketara pada FY24 berdasarkan kecekapan operasi yang lebih baik daripada usaha pengoptimuman kos dan penyerapan overhed dengan penambahan katil baharu sebanyak 10%.

 

"Dengan pendapatan tambahan daripada peningkatan umlah pesakit yang lebih tinggi, tiga hospital kumpulan itu, iaitu, Hospital Pakar KPJ Perlis, Hospital Pakar KPJ Bandar Dato Onn dan Hospital KPJ Batu Pahat yang masih dalam tempoh tunggu hasil akan mencatatkan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) positif

 

"Kumpulan itu menjangkakan ketiga-tiga hospital ini akan mendapat keuntungan menjelang akhir FY24.

 

"Dua lagi hospital iaitu, Hospital Pakar KPJ Miri dan Hospital Pakar Damansara 2 (DSH2) dijangka balik modal pada hujung tahun ini selepas mencatatkan peningkatan hasil ketara," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: KPJ Healthcare beri fokus sepenuhnya kepada pasaran penjagaan kesihatan Malaysia, hanya 1% kepada perniagaan antarabangsa

 

Sepanjang tahun kewangan penuh, keuntungan bersih kumpulan meningkat kepada RM263.41 juta daripada RM166.98 juta pada FY23 manakala hasil melonjak kepada RM3.42 bilion daripada RM2.87 bilion pada tahun sebelumnya.

 

Hasil yang lebih tinggi pada 2023 disebabkan oleh peningkatan 4% tahun ke tahun dalam lawatan pesakit kepada 857,537, disokong oleh bilangan katil yang lebih tinggi.

 

Firma penyelidikan itu berkata, dalam tempoh dua tahun akan datang, KPJ berhasrat untuk meningkatkan kapasiti katil keseluruhannya dengan menambah 1,000 katil secara beransur-ansur di hospital baharu dan hospital sedia ada sehingga akhir 2025.

 

Katanya, peningkatan besar kepada kapasiti katil akan dibuat di DHS2, Hospital Pakar KPJ Ampang Puteri, Hospital Pakar KPJ Klang dan Jospital Pakar KPJ Klang.

 

"Kami menyukai KPJ kerana memiliki prospek cerah dalam sektor penjagaan kesihatan swasta Malaysia yang disokong peningkatan populasi yang semakin tua, kurang terdedah kepada inflasi yang tinggi kerana mereka boleh menentukan harga selain kedudukaan pasaran yang kukuh di dalam negara dengan pemilikan 29 hospital," katanya. 

 

Kenanga Research mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran (TP) RM1.95 sesaham.- DagangNews.com