Kerugian akibat banjir berjumlah RM6.1 bilion, Selangor catat kerugian tertinggi | DagangNews Skip to main content

Kerugian akibat banjir berjumlah RM6.1 bilion, Selangor catat kerugian tertinggi

KUALA LUMPUR 28 Jan - Bencana banjir yang melanda Malaysia Disember lalu di 11 negeri merekodkan kerugian RM6.1 bilion iaitu bersamaan dengan 0.4% berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

 

Ketua Perangkawan, Datuk Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, jumlah kerugian tertinggi adalah datang daripada kediaman iaitu RM1.6 bilion dengan Selangor merekodkan jumlah kerugian tertinggi dengan RM1 bilion.

 

"Selain kediaman, kenderaan mencatatkan kerugian berjumlah RM1 bilion, sektor pembuatan (RM0.9 bilion), premis perniagaan (RM0.5 bilion), pertanian (RM90.6 juta) dan kemudahan awam dan infrastruktur sebanyak RM2 bilion.

 

"Dari segi kediaman, Selangor mencatatkan kerugian tertinggi iaitu RM1 bilion, diikuti Pahang RM425.5 juta dan Melaka RM69.7 juta," katanya dalam satu kenyataan Laporan Khas Impak Banjir Malaysia 2021, hari ini lapor Berita Harian.

 

Beberapa negeri mengalami banjir besar luar biasa pada Disember lalu terutama Selangor, Pahang, Johor, Terengganu dan Kelantan yang menyebabkan kerosakan harta benda pada skala besar.

 

Turut terjejas adalah Melaka, Negeri Sembilan, Perak, Sabah, Sarawak dan Kuala Lumpur.

 

banjir

 

Mohd Uzir berkata, Petaling menjadi daerah tertinggi mencatatkan kerugian sejumlah RM258 juta diikuti Hulu Langat (RM253.6 juta) dan Klang (RM252.8 juta).

 

Sementara itu di Pahang, daerah Kuantan mencatatkan kerugian tertinggi bagi tempat kediaman sebanyak RM197.4 juta, disusuli Temerloh dengan RM95.1juta dan Bentong (RM60 juta).

 

Beliau berkata, daerah Melaka Tengah paling teruk terjejas di Melaka dengan kerugian direkodkan sebanyak RM60.8 juta, diikuti Alor Gajah iaitu RM6.9 juta dan Jasin (RM2 juta).

 

banjir

 

Hasil laporan Khas Impak Banjir di Malaysia 2021 dikeluarkan Jabatan Perangkaan menerusi kaji selidik khas pada 30 Disember 2021 hingga semalam turut mendedahkan kerugian bagi kerosakan kenderaan susulan bencana banjir di negara ini.

 

"Tiga negeri mencatatkan kerugian tertinggi adalah Selangor dengan RM855 juta, Pahang (RM78.2 juta) dan Negeri Sembilan (RM18.2 juta).

 

banjir

 

"Daerah yang mencatatkan kerugian tertinggi bagi kerosakan kenderaan di Selangor adalah Petaling iaitu RM328.3 juta, diikuti Klang (RM276.9 juta) dan Hulu Langat (RM155.5 juta).

 

"Sementara itu, Temerloh, di Pahang mencatatkan kerosakan kenderaan tertinggi berjumlah RM44.8 juta diikuti Kuantan RM23.8 juta dan Bentong, RM4.2 juta, sementara di Negeri Sembilan, Jelebu merekodkan kerugian tertinggi iaitu RM5.2 juta, Port Dickson (RM4.6 juta) dan Seremban (RM3.7 juta)," katanya.

 

banjir

 

Beliau berkata, kajian itu bertujuan menilai jumlah kerugian dan kerosakan akibat banjir melanda negara pada penghujung tahun lalu dan awal tahun ini yang meliputi nilai kerosakan di tempat kediaman, kenderaan, premis perniagaan dan perindustrian.

 

Jabatan Perangkaan menggunakan data diperoleh daripada pelbagai agensi seperti Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan PDRM. - DagangNews.com