Kerugian bersih Sapura Energy mengecil kepada RM728 juta pada 4QFY24 | DagangNews Skip to main content

Kerugian bersih Sapura Energy mengecil kepada RM728 juta pada 4QFY24

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 25 Mac - Kerugian bersih Sapura Energy Berhad mengecil kepada RM728 juta pada suku keempat tahun kewangan 2024 (4QFY24) daripada RM3.36 bilion bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Ini adalah berikutan susut nilai lebih rendah, bahagian keuntungan lebih tinggi daripada usaha sama dan syarikat bersekutu, serta keuntungan pertukaran asing menggalakkan ekoran kenaikan nilai dolar Amerika Syarikat berbanding nilai ringgit, meskipun menanggung pendapatan lebih rendah, serta perbelanjaan operasi dan kos kewangan yang lebih tinggi, katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

 

Pendapatan kumpulan pada suku berakhir 31 Januari 2024 itu menurun 13% kepada RM1.06 bilion berbanding RM1.2 bilion dalam tempoh sama tahun sebelumnya, dengan kerugian sesaham menguncup kepada 4.33 sen daripada 20.38 sen sebelumnya.

 

Secara keseluruhan, Sapura Energy mencatat kerugian bersih RM508.7 juta bagi tahun kewangan 2024 (FY24), mengecil daripada kerugian bersih RM3.16 bilion tahun sebelumnya.

 

Pendapatan FY24 pula merosot 6.5% kepada RM4.26 bilion daripada RM4.55 bilion tahun sebelumnya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sapura Energy, Datuk Mohd Anuar Taib berkata, kumpulan itu kekal optimistik dengan berhati-hati terhadap prospek perniagaannya pada FY25. 

 

Beliau menegaskan bahawa kumpulan itu komited terhadap pemulihan operasinya dengan memberi tumpuan kepada peningkatan kecekapan, meningkatkan hubungan pelanggan, dan memupuk kerjasama yang lebih erat dengan pelanggan, rakan kongsi dan vendor.

 

“Walaupun terdapat cabaran yang ditimbulkan oleh proses penstrukturan semula yang berterusan, kami berazam untuk memajukan pencapaian strategi ‘Reset’ kami dan mengukuhkan lagi kedudukan pasaran Sapura Energy,” katanya dalam satu kenyataan berasingan hari ini.

 

Buku pesanan kumpulan pada masa ini berjumlah RM5 bilion, manakala buku pesanan yang dipegang oleh syarikat usaha sama dan entiti bersekutunya kini berjumlah RM3 bilion. 

 

Menurut kenyataan  itu, segmen kejuruteraan dan pembinaan (E&C) serta segmen operasi dan penyelenggaraan (O&M) kumpulan sedang giat mengejar beberapa prospek, bertumpukan fabrikasi, pengangkutan dan pemasangan, serta pemeriksaan, pembaikan dan penyelenggaraan dasar laut. 

 

Ia menambah bahawa kumpulan itu juga akan meneroka peluang dalam projek peralihan tenaga, termasuk penyahtauliahan luar pesisir. - DagangNews.com