IPOH 11 Dis - Potensi pembangunan ekonomi negeri Perak menarik perhatian Kesatuan Eropah (EU) untuk meluluskan geran bernilai RM9.5 juta bagi kajian dalam sektor pelabuhan dan maritim.
Geran tersebut diberikan kepada Port of Antwerp-Bruges International (PoABI) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk).
Menteri Besar, Dato' Seri Saarani Mohamad berkata, pemberian geran ini menganjakkan satu lagi fasa penting dalam menggerakkan pertumbuhan ekonomi negeri Perak ke tahap tinggi.
Menurut beliau, ia membantu Lumut mencapai potensinya sebagai penggerak utama yang memacu pembangunan terangkum dan mampan bagi negeri Perak.
“Geran ini akan dimanfaatkan untuk membuat kajian kebolehlaksanaan di bawah program yang diterajui PKNPk bersama jururunding luar dan PoABI.
“Kekayaan sumber semulajadi Perak, pembangunan Bandar Perindustrian Maritim Lumut atau Lumut Maritime Industrial City (LuMIC) menjadikan negeri ini tarikan kepada EU,” ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa hadir pada Majlis Pengumuman Geran EU oleh PoABI dan PKNPk.
Hadir sama pada majlis itu ialah Duta Besar EU di Malaysia, Michalis Rokas; Duta Besar Belgium ke Malaysia, Peter Van Acker; Pengarah Urusan PoABI, Kristof Waterschoot dan Ketua Eksekutif PKNPk, Datuk Redza Rafiq Abdul Razak.
Majlis sama juga menyaksikan sesi menandatangani perjanjian pemegang saham usaha sama menubuhkan LuMIC Development Sdn. Bhd. (LuMIC DevCo).
Jelas Saarani, kerjasama strategik PKNPk - PoABI menubuhkan LuMIC dan menjadikannya pusat serantau baharu di Selat Melaka adalah sebahagian daripada usaha untuk mencapai wawasan Perak Sejahtera 2030.
Katanya, LuMIC DevCo menjalankan usahasama dalam pembangunan dan pengurusan hab perindustrian maritim bersepadu Bandar Perindustrian Maritim Lumut dan kawasan sekitar Perak.
“Kerjasama strategik ini sudah pasti akan membuka lebih banyak potensi yang menjadikan bandar Lumut sebagai enjin pertumbuhan inklusif dan mampan.
“Pembangunan LuMIC ini dijangka menjana lebih daripada 50,000 pekerjaan dan juga pelbagai peluang perniagaan dalam tempoh tersebut,’ ujarnya.- DagangNews.com