Keuntungan Astro dijangka jatuh hingga 33% ekoran hasil iklan merosot - AmInvest | DagangNews Skip to main content

Keuntungan Astro dijangka jatuh hingga 33% ekoran hasil iklan merosot - AmInvest

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 13 Ogos - Keuntungan bersih Astro Malaysia Holdings Berhad (Astro) dijangka menyusut antara 20% hingga 33% pada suku kedua tahun kewangan 2022 (2QFY22) berbanding 1QFY22.

 

Ini terutamanya berikutan penyusutan dalam hasil pengiklanan media disebabkan oleh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berpanjangan, selain terbitan kandungannya yang juga dijangka berkurangan. 

 

Menurut penganalisis di AmInvestment Bank, Lee Ching Poh yang memetik data Nielsen Ad Intel, perbelanjaan iklan yang dilaburkan untuk siaran percuma (FTA), radio dan digital, masing-masing jatuh 12%, 40% dan 12% pada Jun berbanding bulan sebelumnya.

 

“Tambahan pula, acara sukan seperti UEFA EURO 2020 dan Olimpik Tokyo 2020 pada suku tahun berkenaan mungkin mendorong kepada kos kandungan yang lebih tinggi antara 34% hingga 37%, jika dibandingkan dengan kos 33% hingga 34% semasa tempoh yang tiada sukan. 

 

“Namun, risiko perolehan itu, sebahagiannya mungkin dikurangkan oleh pelancaran platform penstriman mudah alih, Sooka dan Disney+ Hotstar yang merupakan gabungan dengan Movie Pack Astro dengan bayaran tambahan RM5 sebulan bermula 1 Jun 2021,” jelas Ching Poh dalam satu nota kajian.

 

Sebagai rekod, Astro dijangka mengumumkan keputusan kewangan bagi suku tahun berkenaan pada bulan hadapan.

 

Ching Poh melihat perkhidmatan penstriman tersebut mampu meningkatkan purata hasil setiap pengguna (ARPU) Astro, di mana rangkaian televisyen itu menyaksikan ARPU pada 1QFY22 sebanyak RM97.

 

Dalam pada itu, perbelanjaan pengguna yang lebih tinggi dijangka menyokong segmen perniagaan beli-belah dari rumah Astro menerusi Go Shop, semasa musim perayaan Hari Raya.

 

“Oleh itu, kami optimis bahawa keputusan 2QFY22 yang dijangka lemah akan dikurangkan oleh perolehan separuh kedua FY22 (2HFY22) yang lebih kukuh, dipacu oleh pemulihan perbelanjaan iklan yang pulih ekoran sekatan pergerakan dilonggarkan untuk individu yang lengkap divaksin,” tambah Ching Poh.

 

Pada 1QFY22, Astro menguasai 39% pasaran pengiklanan di televisyen sementara perbelanjaan iklan digital pula menokok kepada 3% daripada 2%. 

 

Namun, pengiklanan di radio menyusut kepada 78% daripada 84% dan untuk rekod, segmen televisyen menyumbang 88% daripada keuntungan sebelum cukai kumpulan, diikuti oleh radio (10%) dan perniagaan beli-belah dari rumah (2%).

 

AmInvest mengekalkan saranan ‘beli’ saham Astro dengan nilai wajaran pada kadar RM1.83 sesaham. - DagangNews.com