KUALA LUMPUR 30 Ogos - Keuntungan bersih Bank Islam Malaysia Bhd (BIMB) bagi suku kedua berakhir 30 Jun, 2022 (S2 2022) susut kepada RM117.16 juta daripada RM194.33 juta berikutan pendapatan bersih rendah yang diburukkan oleh overhed dan elaun bersih tinggi bagi rosot nilai pembiayaan dan pendahuluan.
Hasil turun kepada RM823.02 juta berbanding RM834.34 juta sebelumnya manakala pendapatan asas sesaham (EPS) jatuh kepada 5.44 sen daripada 7.44 sen sebelumnya.
Bagi tempoh separuh pertama yang berakhir pada 30 Jun, 2022, keuntungan bersih menyusut kepada RM223.07 juta daripada RM353.04 juta manakala hasil turun sedikit kepada RM1.596 bilion berbanding RM1.605 bilion.
EPS asas juga susut kepada 10.39 sen daripada 13.54 sen sebelumnya, kata BIMB dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Bernama melaporkan.
Sementara itu dalam satu kenyataan berasingan, Ketua Pegawai Ekskutif Kumpulan BIMB Mohd Muazzam Mohamed berkata meskipun bank itu terus berwaspada terhadap prospek tahun ini, khasnya melihatkan ketidaktentuan global, Kumpulan terus teguh dalam melaksanakan strategi pendigitalan dan membuat pelaburan demi pertumbuhan perniagaan seperti yang digariskan dalam pelan LEAP25.
“Kami sedang berusaha ke arah mengukuhkan lembaran imbangan, pada masa sama mengekalkan kualiti aset yang kukuh dan meningkatkan lagi kecekapan kos.
“Sehubungan itu, pada pertengahan Julai lalu, Kumpulan telah melancarkan kemudahan perbankan digital bagi memenuhi keperluan generasi muda dan celik digital dikenali sebagai Be U. Ia merupakan bank digital natif awan yang pertama di negara ini.
“Penyertaan penggiat terkemuka industri sebagai rakan strategik akan membolehkan lebih banyak fungsi dan membawa perkhidmatan nilai tambah kepada platform berkenaan. Be U dijangka memperkenalkan tawaran baharu seperti deposit bertempoh, kad debit, pengurusan kewangan peribadi dan pelbagai ciri lain dalam tempoh 12 bulan akan datang,” katanya.
Mohd Muazzam berkata memandangkan momentum pertumbuhan domestik yang positif sejak beberapa bulan kebelakangan ini, Kumpulan menjangkakan langkah pengurangan sokongan monetari akan dilakukan secara berperingkat dan terkawal.
“Kami menjangkakan kerajaan akan memperkenalkan sistem subsidi bersasar untuk membantu individu yang layak dalam keadaan semasa yang mencabar ini.
“Kumpulan Bank Islam terus bersedia untuk menyediakan sokongan yang diperlukan bagi memastikan pelanggan kami kekal berdaya tahan dan membantu mereka kembali bangkit demi kesejahteraan hidup mereka,” katanya. - DagangNews.com