KUALA LUMPUR 21 Okt - Keuntungan teras bersih 3QFY22 Digi.com Berhad sebanyak RM276 juta menjadikan untung teras bersih 9MFY22 kepada RM826 juta masing-masing menyumbang 71% dan 81% daripada unjuran penuh konsensus Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research.
Firma itu berkata, ia adalah selaras dengan unjuran kerana Cukai Makmur dikenakan sekali sahaja.
"Pembayaran sekali sahaja 9MFY21 termasuk pembersihan akruan bersih cukai berjumlah RM5 juta, kos berkaitan penggabungan dan bayaran balik penalti cukai berjumlah RM22 juta dan Cukai Makmur yang dianggar berjumlah RM123 juta,” katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Terdahulu, kumpulan itu mencatatkan untung bersih RM264.48 juta pada 3QFY22 turun 15.45% daripada RM312.81 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya.
Perolehan syarikat telekomunikasi itu merosot 3.3% kepada RM1.53 bilion daripada RM1.58 bilion setahun sebelumnya manakala pendapatan sesaham turun kepada 3.40 sen berbanding 4.02 sen sebelumnya.
Kumpulan itu mengisytiharkan dividen interim ketiga sebanyak 3.4 sen sesaham, berjumlah RM264 juta pembayaran dividen.
Firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM3.60 sesaham.
"Sementara menunggu penjelasan lanjut mengenai penggabungan dan struktur 5G dengan Digital Nasional Berhad (DNB), hasil dividen sebanyak 4.1% akan mengekalkan harga saham dalam tempoh terdekat," katanya. - DagangNews.com