KUALA LUMPUR 9 Sept. - Bon Malaysia yang menawarkan keuntungan tinggi akan terus menarik minat pelabur asing dalam tempoh jangka masa sederhana ini.
Malah, kadar faedah menghampiri paras sifar oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) termasuk dolar AS yang lemah memberi kelebihan kepada bon Asia yang menawarkan keuntungan lebih tinggi.
Keadaan itu sekali gus menarik pelabur asing beralih ke pasaran bon Asia.
Di rantau Asia, Malaysia antara yang menawarkan keuntungan pelaburan bon tertinggi.
Trend itu pula disokong oleh sentimen ekonomi negara yang kian pulih, manakala kecairan (liquidity) global pula kekal tinggi.
“Keuntungan yang sedikit dalam bon Khazanah AS akan mendorong permintaan hutang kerajaan Asia dan bon Malaysia mempunyai kelebihan kerana antara yang menawarkan keuntungan tinggi,” jelas pelabur bon tempatan seperti dipetik TheStar.
Bagaimanapun, keadaan itu masih berdepan dengan risiko susulan FTSE Russell akan menentukan sama ada untuk mengekalkan bon Malaysia dalam Indeks Bon Kerajaan Dunia (WGBI) atau tidak pada bulan ini.
“Malaysia masih mendapat perhatian pelabur kerana menawarkan keuntungan tinggi dan ekonomi domestik yang kian pulih.
“Dalam pada itu, daya tarikan aset dolar AS yang semakin lemah memberi sokongan kepada mata wang serantau secara umumnya,” jelas RHB Research. - DagangNews.com