Kevin Lam Sai Yoke dilantik sebagai CEO/GMD baharu Hong Leong Bank Bhd | DagangNews Skip to main content

Kevin Lam Sai Yoke dilantik sebagai CEO/GMD baharu Hong Leong Bank Bhd

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 16 Mei - Hong Leong Bank Bhd (HLBB) mengumumkan pelantikan Kevin Lam Sai Yoke sebagai pengarah urusan/ketua pegawai eksekutif (GMD/CEO) kumpulan baharunya berkuat kuasa 1 Julai 2023 berikutan persaraan GMD/CEO semasa Domenic Fuda pada 30 Jun.

 

Lam memiliki pengalaman lebih 30 tahun dalam perbankan, teknologi dan kepimpinan merentasi bank serantau dan antarabangsa di beberapa geografi, kata HLBB dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

 

Sebelum menyertai HLBB, beliau berkhidmat sebagai ketua Perbankan Digital Kumpulan TMRW United Overseas Bank Ltd untuk pasaran serantau utamanya yang berpangkalan di Singapura, serta pernah bekerja di pelbagai pasaran Asean selama sedekad.

 

Beliau adalah presiden pengarah UOB Indonesia dan ketua perkhidmatan kewangan peribadi di UOB Malaysia, di mana beliau akhirnya berkhidmat sebagai timbalan CEO dan bertanggungjawab ke atas perniagaan, teknologi dan operasi perbankan borong kumpulan itu.

 

Lam juga mengetuai segmen pinjaman perbankan pengguna, jualan dan pengedaran di Singapura dengan UOB, selepas berkhidmat dengan pelbagai bank antarabangsa dan firma teknologi yang berpangkalan di Singapura, Hong Kong dan Amerika Syarikat.


 

Domenic Fuda
                    Domenic Fuda

 


Selepas menyertai HLBB pada 2016, Fuda menerajui pertumbuhan HLBB dengan tumpuan yang kukuh pada penyelesaian yang berteraskan pelanggan, teknologi dan pelaburan digital serta kemampanan sebagai tonggak strategik untuk pertumbuhan semasa dan masa depannya.

 

Di bawah kepimpinannya, kumpulan perbankan itu mengubah saluran penyampaian, pematuhan yang kukuh dan asas pengurusan risiko dan menerima pakai inisiatif strategik peneraju industri dalam alam sekitar, sosial dan tadbir urus, serta memimpin metrik kewangan dalam produktiviti dan pulangan yang konsisten.

 

"Saya percaya sekarang adalah masa yang baik untuk menyerahkan kepimpinan bank itu kerana ia memulakan fasa pertumbuhan seterusnya," katanya dalam satu kenyataan. - DagangNews.com