KUALA LUMPUR 3 Sept. - Keadaan kewangan negara masih lagi terkawal walaupun kerajaan telah mengeluarkan banyak perbelanjaan untuk menangani impak pandemik COVID-19.
Perbelanjaan itu merujuk kepada Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).
Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Abd. Rahim Bakri berkata, kedua-dua pakej rangsangan berkenaan yang menelan belanja sehingga RM295 bilion, ditambah suntikan fiskal bernilai RM45 bilion membantu memacu ekonomi negara setelah mengalami penguncupan.
“Jika dilihat secara bulanan, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) telah menunjukkan pemulihan daripada penguncupan sebanyak 28.6% pada April, kepada 19.5% pada Mei seterusnya kepada 3.2% pada Jun,” katanya pada persidangan Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Ismail Yusop mengenai status terkini kewangan negara selepas pakej rangsangan ekonomi dilaksanakan serta kesan terhadap KDNK dalam menghadapi ekonomi pasca COVID-19.
Mengulas mengenai moratorium pinjaman yang berakhir 30 September ini, kerajaan telah mengkaji impak kewangan ke atas individu.
Dalam masa sama, moratorium secara bersasar juga mula diberikan tumpuan.
"Individu yang terkesan boleh berjumpa dengan pihak bank masing-masing untuk penjadualan semula dan penstrukturan semula pinjaman mereka.
“Sekiranya mengalami masalah boleh berjumpa dengan pihak Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit,” tambah Abd. Rahim. - DagangNews.com