KUALA LUMPUR 30 Jun – KGW Group Berhad, hari ini melancarkan prospektus Kumpulan untuk tawaran awam permulaan (IPO) yang akan datang di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad.
IPO itu disasar menjana RM16.73 juta melalui terbitan 79.66 juta saham baharu pada harga IPO RM0.21 sesaham untuk membiayai pengembangan masa depan KGW serta modal kerja dan pembayaran balik pinjaman bank.
KGW adalah penyedia perkhidmatan logistik termasuk perkhidmatan pengangkutan laut, perkhidmatan pengangkutan udara dan perkhidmatan penghantaran barang serta pergudangan dan pengedaran produk berkaitan penjagaan kesihatan dan peranti.
Hasilnya akan digunakan dengan cara berikut:
- RM2.00 juta untuk mengubah suai bangunan pejabat tiga tingkat Kumpulan dan gudang dua tingkat bersebelahan
- RM0.73 juta untuk tujuan modal kerja
- RM10.00 juta untuk membayar balik pinjaman bank
- RM4.00 juta diperuntukkan untuk anggaran perbelanjaan penyenaraian
Pengarah Urusan KGW, Dato’ Roger Wong berkata, syarkat adalah penyedia logistik aset ringan yang pakar dalam mengurus dan menyelaraskan pergerakan barangan dalam rantaian bekalan.
"Daripada memiliki aset pengangkutan fizikal seperti kapal, kereta api atau pesawat, kami menumpukan pada menyediakan perkhidmatan yang lebih bernilai kepada pelanggan kami untuk memudahkan keseluruhan proses penghantaran mereka untuk kecekapan yang lebih baik dengan memanfaatkan perkongsian dan kerjasama dengan pengendali pengangkutan sedia ada," ujarnya.
Ketua Kewangan Korporat TA Securities Holdings Berhad, Ku Mun Fong berkata, KGW telah membangunkan rangkaian kukuh dengan penyedia perkhidmatan logistik lain di seluruh dunia sepanjang tahun beroperasi.
Ini telah membolehkan Kumpulan mengatur penghantaran barangan dari Malaysia ke pelbagai lokasi termasuk di Asia, Afrika, Eropah, Amerika Utara dan Selatan. Ini memberikan Kumpulan kelebihan dalam bersaing dan mengembangkan perniagaan.
Pengarah Urusan Eco Asia Capital Advisory Sdn. Bhd., Kelvin Khoo berkata, Kumpulan KGW akan melaksanakan beberapa strategi seperti mengembangkan kumpulan pelanggannya secara aktif yang mengeksport ke destinasi bukan AS, mengembangkan bilangan pekerjanya untuk meningkatkan operasi, mengembangkan perkhidmatan pergudangannya untuk produk berkaitan penjagaan kesihatan dan membangunkan peluang perniagaan baharu untuk perkhidmatan logistik mereka melalui penyediaan penyelesaian e-dagang.
"Di bawah kendalian Dato’ Roger dan pasukan Pengurusannya, kami amat yakin KGW akan berjaya melaksanakan rancangan perniagaan masa depan mereka selepas Penyenaraiannya, dan akan dapat mengukuhkan lagi kehadiran mereka dalam industri logistik,” katanya.
KGW merekodkan hasil sebanyak RM43.38 juta, RM63.52 juta, RM195.42 juta dan RM229.70 juta masing-masing bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019 (FYE 2019), FYE 2020, FYE 2021 dan FYE 2022.
Kumpulan mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM0.60 juta, RM2.86 juta, RM20.75 juta dan RM21.87 juta masing-masing untuk FYE 2019, FYE 2020, FYE 2021 dan FYE 2022.
TA Securities merupakan Penasihat Utama, Penaja, Penaja Jamin dan Ejen Penempatan untuk IPO manakala Eco Asia ialah Penasihat Kewangan.
Yang turut hadir pada majlis pelancaran prospektus KGW hari ini ialah Pengarah, Eco Asia Capital Advisory, Kelly Neng; Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif KGW, Tengku Faizwa Binti Tengku Razif; Pengarah Eksekutif/ COO KGW, Cheok Hui Yen dan Pengarah Eksekutif, Operasi, TA Securities Tah Heong Beng.- DagangNews.com