Khazanah, KWSP didakwa mahu jual saham dalam Malaysia Airports | DagangNews Skip to main content

Khazanah, KWSP didakwa mahu jual saham dalam Malaysia Airports

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 4 Mac - Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) didakwa merancang untuk menjual saham mereka dalam Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) kepada syarikat pengeluar senjata untuk tentera Israel, Global Infrastructure Partners (GIP) dan BlackRock.

 

Sehubungan itu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) mengajak seluruh Ahli Parlimen, baik pembangkang mahu pun penyokong kerajaan untuk sama-sama menghentikan usaha Khazanah dan KWSP ini.

 

Katanya, tindakan membenarkan GIP memiliki dan mengurus Malaysia Airports Holdings Berhad (Malaysia Airports) menerusi pembentukan konsortium itu adalah tidak wajar terutama ketika kerajaan terus lantang mengecam kezaliman Israel.

 

"Apa guna kita bercakap di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tetapi belakang kuat bersekongkol dengan orang yang membunuh rakyat Palestin," dakwanya ketika mengajukan soalan tambahan pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

 

wan
Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

 

Menurut Wan Ahmad Fayhsal, GIP adalah milik penuh Blackrock, pengurus dana terbesar di dunia yang merupakan pemilik kepada pemegang saham semua syarikat pembekal senjata yang membunuh rakyat Palestin di Gaza.

 

"Saya minta komitmen Wisma Putra dan penyokong kerajaan untuk sama-sama membantah pendekatan ini yang dibuat Khazanah dan KWSP untuk menjual pegangan Malaysia Airports kepada GIP yang dimiliki oleh Blacrock," katanya.

 

Dakwanya, Khazanah dan KWSP dikhabar membentuk konsortium dengan GIP tahun ini untuk memiliki pegangan dalam Malaysia Airports.

 

Menjawab perkara itu, Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin berkata, isu dibangkitkan Wan Ahmad Fayhsal itu di luar bidang kuasa Wisma Putra.

 

"Kementerian Luar akan mengambil tindakan perlu jika ia di bawah wilayah kementerian kita. Kalaulah wilayah itu di bawah Kementerian Luar, kita akan bagi pandangan kepada agensi yang terbabit.

 

"Contoh dalam Ops Ehsan yang ramai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tampil untuk membantu perjuangan Palestin, kita akan buat saringan, akomodasi nasihat dan pandangan dari semua agensi.

 

"Isu yang dibangkitkan (Wan Ahmad Fayhsal) ini kalau ada maklumat rasmi kita akan bagi pandangan di peringkat wilayah (kementerian) kita," katanya. - DagangNews.com