Kita akan jaga punca rezeki rakyat sebaiknya - Menteri Kewangan | DagangNews Skip to main content

Kita akan jaga punca rezeki rakyat sebaiknya - Menteri Kewangan

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 14 Jan. - “Kita akan menjaga punca rezeki rakyat sebaiknya.”

 

Itu jaminan kerajaan untuk memberikan kelegaan kepada rakyat setelah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan semula di enam buah negeri selain pengumuman Proklamasi Darurat. 

 

“Saya memahami bahawa keadaan yang kita hadapi adalah di luar jangkaan. Kerajaan telah berkali-kali membuktikan bahawa kita tidak akan berkompromi di dalam memastikan kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan dan ketahanan ekonomi.

 

“Dari segi perniagaan dan ekonomi pula, sektor pembuatan dan perkhidmatan penting juga masih dibenarkan beroperasi. Begitu juga dengan rantaian bekalan sektor-sektor tersebut. 

 

“Kerajaan sudah memberi jaminan bahawa bekalan perlu atau essential akan dipastikan mencukupi, supaya aktiviti ekonomi utama boleh terus berfungsi. Bagi pengusaha kecil dan mikro, gerai-gerai juga masih boleh dibuka dan beroperasi dalam tempoh ini, walaupun dengan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat, contohnya pembeli hanya boleh membeli secara bungkus atau takeway,” kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz. 

 

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Laporan Laksana Ke-36, secara langsung menerusi laman Facebook rasmi miliknya hari ini. 

 

Pada pembukaan penyampaian laporan itu, beliau turut memberi jaminan bahawa pelbagai sektor ekonomi dan ekosistem kewangan tetap dibuka, mengikut SOP yang ditetapkan. 

 

“Anda masih boleh pergi ke bank dan institusi kewangan bagi menguruskan simpanan dan pelaburan anda seperti biasa. 

 

“Kerajaan dan agensi-agensi berkaitan akan memudahcara dan memastikan keadaan pasaran kekal kondusif dan teratur dalam tempoh tersebut. 

 

“Dan saya jamin, bahawa ekosistem kewangan kita berdaya tahan dan mempunyai sistem pengurusan dan pengawalseliaan yang kukuh,” tambah beliau. - DagangNews.com