KUALA LUMPUR 9 Dis - Kumpulan Kitacon Berhad melengkapkan perjanjian taja jamin bersama RHB Investment Bank Berhad untuk menaja jamin sejumlah 18.59 juta saham dengan tawaran awam permulaannya (IPO) akan disenaraikan di Pasaran Utama, Bursa Malaysia Securities Berhad.
Syarikat perkhidmatan pembinaan itu dalam satu kenyataan berkata, IPO itu melibatkan terbitan awam sebanyak 76.09 juta saham baharu dan tawaran untuk penjualan 62.5 juta saham sedia ada.
Katanya, daripada 76.09 juta saham terbitan awam, 57.50 juta akan ditempatkan kepada pelabur institusi dan terpilih.
Sejumlah 8.59 juta lagi akan disediakan untuk permohonan oleh pengarah, pekerja dan individu yang layak yang telah menyumbang kepada kejayaan Kitacon, manakala baki 10 juta saham baharu akan disediakan untuk permohonan oleh orang ramai Malaysia melalui undian.
Baki 62.5 juta saham lagi akan ditawarkan kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.
Pengarah Urusan Kitacon, Tan Ah Kee berkata, syarikat itu berhasrat untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai penyedia perkhidmatan pembinaan dengan memberi tumpuan kepada kecekapan teras dalam pembinaan bangunan.
"Acara ini merupakan perkara penting kepada kami dan meletakkan kami semakin hampir untuk menjadi syarikat senaraian awam," katanya.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif dan Penasihat Pasal Modal Kumpulan, Jaimie Sia berkata, kumpulan itu berkembang dengan mantap sepanjang tahun dan pihaknya berbesar hati membantu mereka dalam penyenaraian.
"Kepakaran dan pengalaman mereka dalam pembinaan bangunan, bersama-sama dengan hubungan perniagaan yang terjalin dengan kukuh meletakkan Kitacon untuk pertumbuhan yang positif,” katanya.
Hasil IPO itu akan digunakan untuk pembelian peralatan pembinaan, pembelian tanah, pembinaan kemudahan penyimpanan dan baik pulih, dan modal kerja.
Kitacon dijangka disenaraikan pada Januari 2023 dan RHB IB merupakan penasihat utama, penaja jamin tunggal dan ejen penempatan tunggal untuk pelaksanaan IPO ini. - DagangNews.com