Kitacon peroleh kontrak RM111 juta daripada Sime Darby Property bagi pembinaan 28 unit kilang berkembar di Klang | DagangNews Skip to main content

Kitacon peroleh kontrak RM111 juta daripada Sime Darby Property bagi pembinaan 28 unit kilang berkembar di Klang

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 12 Ogos - Kitacon Bhd menerusi Kitacon Sdn Bhd memperoleh kontrak bernilai RM111.23 juta daripada Sime Darby Property (Bukit Raja) Sdn Bhd bagi pembinaan 28 unit kilang berkembar dengan pejabat dua tingkat di Klang, Selangor.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, menerusi kontrak itu, kumpulan itu akan membina 27 unit kilang berkembar dengan pejabat dua tingkat bersaiz (167’ x 261’, jenis A) dan satu unit kilang berkembar dengan pejabat dua tingkat (193’ x 261’, jenis A2).

 

Selain itu, kumpulan itu akan turut membina dua unit pencawang Tenaga Nasional Bhd termasuk infrastruktur dan kerja-kerja lain yang berkaitan.

 

"Kontrak itu akan bermula pada 2 September 2024 dan akan disiapkan dalam tempoh dua puluh tiga bulan," katanya.

 

Kumpulan itu berkata, kontrak itu tidak akan mempunyai sebarang kesan ke atas modal saham dan struktur pegangan saham Kitacon.

 

Bagaimanapun, kontrak itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih sesaham Kitacon bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 dan sehingga tamat kontrak. - DagangNews.com