KLCI bermula positif, saham Hong Leong Bank dahului kaunter rugi | DagangNews Skip to main content

KLCI bermula positif, saham Hong Leong Bank dahului kaunter rugi

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 17 Sept. - Bursa tempatan memulakan dagangan tinggi pagi ini setelah ditutup semalam berikutan cuti umum sempena Hari Malaysia.

 

Setakat 9.01 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 1.21 mata kepada 1,566.47 mata berbanding penutupan Rabu, 1,555.26 mata.

 

Malacca Securities Research berkata, aktiviti memburu saham akan kembali dalam pasaran dan menarik semula dengan penyertaan pelabur asing berikutan beberapa prosedur operasi standard (SOP) dilonggarkan di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN).

 

Katanya, setakat bulan ini, ia menyaksikan aliran masuk asing berjumlah RM904.6 juta.

 

"Apabila lebih banyak SOP dilonggarkan, keadaan ini akan terus menarik minat pelabur terutama bagi saham-saham bertemakan pemulihan seperti binaan bangunan dan pengguna," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Pagi ini menyaksikan keseluruhan pasaran bermula positif dengan kaunter untung mengatasi rugi pada 211 berbanding 105 manakala 283 tidak berubah dan 1,668 tidak diniagakan. 

 

Kaunter aktif didahului dengan saham KTG Bhd. menokok 0.05 sen kepada 14.5 sen dengan 16.98 juta saham diniagakan. 

 

Turut rancak diniagakan termasuklah YB Ventures Bhd., Emico Holdings Bhd. dan AirAsia X Bhd.

 

Sementara itu, saham Genetec Technology Bhd. mendahului dagangan kaunter untung dengan menokok 32 sen kepada RM35.50.  

 

Ini diikuti dengan Fraser & Neave Holdings Bhd. (F&N) menokok 24 sen kepada RM27.28 dan Subur Tiasa Holdings Bhd. menokok 23 sen kepada 93 sen.

 

Sebaliknya, saham Hong Leong Bank Bhd. mendahului kaunter rugi susut 16 sen kepada RM18.62. diikuti Carlsberg Brewery (Malaysia) Bhd. susut 12 sen kepada RM22.24. 

 

Antara saham wajaran tinggi yang turut mendahului dagangan rugi pagi ini termasuklah Petronas Dagangan Bhd. susut 10 sen kepada RM19.68 diikuti Petronas Gas Bhd. susut 8 sen kepada RM16.80. - DagangNews.com