KLCI dibuka mencecah 1,600, tapi jatuh semula | DagangNews Skip to main content

KLCI dibuka mencecah 1,600, tapi jatuh semula

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 25 Jan. - Pasaran saham di Bursa Malaysia berjaya mencecah paras rintangan, 1,600 ketika dibuka pada pagi ini. 

 

Setakat 9 pagi, indeks penanda aras pasaran saham itu, FBM KLCI berjaya ‘berehat’ seketika pada paras 1,600.54, menokok 3.80 mata daripada paras yang ditutup pada minggu lalu iaitu 1,596.74.

 

Namun setelah 11 minit didagangkan, penanda aras itu kembali jatuh di bawah paras rintangan kepada 1,596.50.

 

Kurangnya pemangkin positif di pasaran tempatan mendorong KLCI untuk ‘bergelut’, sekali gus gagal melakukan lonjakan melebihi paras rintangan. 

 

CGS-CIMB Research menjangkakan niaga hadapan tidak menentu hari ini susulan terdapat perubahan kecil di Wall Street. 

 

Ini memandangkan para pelabur sedang menunggu mesyuarat dasar Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) dan juga laporan perolehan walaupun situasi jangkitan COVID-19 sedang meruncing. 

 

“Spot pada Januari dijangka didagangkan dalam julat, dengan sokongan dan rintangan masing-masing pada 1,580 dan 1,610,” jelas firma penyelidik itu dalam nota kajian pasarannya. 

 

Dalam pada itu, saham-saham di pasaran Asia berada dalam situasi bertahan hari ini memandangkan kes COVID-19 kian meningkat dengan pengedaran vaksin dalam tempoh masa ditetapkan belum pasti. 

 

Menurut Reuters, indeks MSCI sukar untuk melonjak, kekal tidak berubah di paras 718.72.

 

Indeks itu berada di bawah paras tertinggi pada minggu lalu, 727.31, tetapi berjaya meningkat sebanyak 8.5% setakat bulan ini, sekali gus menyaksikan lonjakan untuk empat bulan berturut-turut. 

 

Saham di Jepun pula jatuh 0.1% dengan Australia melonjak lebih tinggi. 

 

Ini susulan pihak kawal selia ubat-ubatan di Australian meluluskan vaksin Pfizer/BioNTech COVID-19 dengan pihak berkuasanya mendedahkan pengedaran itu bakal berlaku pada hujung bulan depan. 

 

Kes COVID-19 global menghampiri angka 100 juta dengan lebih 2 juta kes kematian dicatatkan. 

 

Situasi itu juga mendorong Hong Kong untuk mengenakan perintah berkurung di kawasan semenanjung Kowloon pada Sabtu lalu. 

 

Ini merupakan penguatkuasaan pertama yang diambil Hong Kong sejak berlakunya penularan COVID-19. - DagangNews.com