KLCI dibuka rendah menjelangnya mesyuarat BNM, saham Nestle dahului kaunter rugi | DagangNews Skip to main content

KLCI dibuka rendah menjelangnya mesyuarat BNM, saham Nestle dahului kaunter rugi

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 9 Sept. - Bursa tempatan kembali dibuka rendah dalam dagangan pagi terutama menjelangnya mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini.

 

Pada 9.02 pagi, indeks utama susut 7.71 mata kepada 1,589.92 mata berbanding penutupan semalam yang menghampiri 1,600 mata didorong aktiviti pembelian saat-saat akhir.

 

Malacca Securities Research berkata, pelabur mungkin mengambil langkah berhati-hati menantikan keputusan mesyuarat BNM terhadap kadar dasar semalaman (OPR).

 

Katanya, kenyataan BNM itu akan menjadi petunjuk kepada situasi ekonomi semasa dan prospek pemulihan ekonomi Malaysia akan datang.

 

"Namun, keyakinan pelabur mungkin terus meningkat apabila Lembah Klang beralih ke fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan kes jangkitan harian COVID-19 juga menurun lapan hari berturut-turut yang menandakan ekonomi negara berada dalam landasan pemulihan," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Dari segi sektor, katanya, pembukaan semula ekonomi akan memberi kelebihan kepada saham-saham berkaitan pemulihan seperti kepenggunaan, pembinaan dan hartanah.

 

"Kenaikan harga minyak mentah pula mungkin menjadi tarikan belian bagi kaunter-kaunter perladangan," tambahnya. 

 

Setakat pagi ini, sebanyak 109.06 juta saham diniagakan bernilai RM43.19 juta dengan kaunter untung mengatasi rugi pada 146 berbanding 126. Sebanyak 262 kaunter tidak berubah dan 1,685 pula tidak diniagakan. 

 

Kaunter aktif menyaksikan saham SYF Resources Bhd. mendahului dagangan dengan menokok 1 sen kepada 45 sen. 

 

Turut rancak diniagakan termasuklah Kanger International Bhd., Paos Holdings Bhd., Lambo Group Bhd. dan AirAsia X Bhd.

 

Bagi kaunter untung pula didahului dengan dagangan saham Khind Holdings Bhd. menokok 16 sen kepada RM4.98 diikuti Malayan Cement Bhd. naik 13 kepada RM3. 

 

Sebaliknya, saham Nestle Malaysia Bhd. mendahului kaunter rugi susut 60 sen kepada RM134.30 manakala Petronas Gas Bhd. susut 44 sen kepada RM16.66.

 

Selain itu, antara yang menjadi tumpuan pelabur dalam dagangan hari ini termasuklah YTL Corp. Bhd., YTL Power International Bhd., Malayan Cement Bhd., AirAsia Bhd., Duopharma Biotech Bhd. dan Bintai Kinden Corp. Bhd. - DagangNews.com