KLCI dibuka tinggi tapi jatuh selepas 25 minit dagangan | DagangNews Skip to main content

KLCI dibuka tinggi tapi jatuh selepas 25 minit dagangan

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 15 Jan. - Pasaran saham tempatan dibuka tinggi pada awal dagangan pagi ini, namun menyusut selepas beberapa minit pelaburan. 

 

Ketika dibuka pada 9 pagi, indeks penanda aras pasaran saham Malaysia, FBM KLCI menokok 1.56 mata kepada 1,637.27 daripada paras yang ditutup semalam, 1,635.71.

 

Namun, indeks itu menyusut kepada 1,634.73 selepas 25 minit didagangkan, sekali gus menyaksikan jumlah penurunan sebanyak 0.98 mata. 

 

Rakuten Trade Research menjangkakan FBM KLCI mungkin didagangkan lebih tinggi hari ini dan menguji paras 1,645. 

 

“Di pasaran tempatan, kami menjangkakan FBM KLCI didagangkan lebih tinggi hari ini, mungkin menguji paras 1,645 disokong oleh aliran masuk baharu dana asing. 

 

“Sementara itu, harga mentah Brent melonjak semula melebihi AS$56 setong, sekali lagi meletakkan harapan terhadap minat pelaburan bagi kaunter minyak dan gas. 

 

“Saham-saham berkaitan teknologi terus menarik minat dan menyarankan pelabur untuk memerhatikan saham lemah,” jelas Rakuten Trade dalam nota kajiannya. 

 

Di peringkat global, Wall Street menyusut memandangkan para pelabur masih menunggu butiran pakej rangsangan terkini dari Amerika Syarikat (AS). 

 

Susulan itu, DJI Average merudum 69 mata untuk ditutup betul-betul di bawah paras 31,000, manakala Nasdaq juga jatuh, ditutup bawah paras tertingginya. 

 

“Kami menjangkakan pasaran serantau akan didagangkan lebih stabil hari ini selepas pelancaran pakej rangsangan bernilai AS$1.9 trilion,” tambah Rakuten Trade. - DagangNews.com