KLCI ditutup lemah, Top Glove pula berakhir di kaunter paling aktif | DagangNews Skip to main content

KLCI ditutup lemah, Top Glove pula berakhir di kaunter paling aktif

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 10 Sept. - Pasaran saham tempatan mengakhiri dagangan pada minggu ini dengan prestasi lemah, berbeza dengan pergerakan positif yang ditonjolkan oleh pasaran Asia lain. 

 

Indeks penanda aras di Bursa Malaysia, FBM KLCI tersungkur 2.92 mata kepada 1,575.97 daripada penutupan petang semalam, 1,578.89. 

 

Petang ini, prestasi dagangan juga beraksi agak negatif apabila jumlah kaunter rugi mengatasi kaunter untung, pada perbandingan 498 daripada 467 dengan 484 kaunter tidak berubah dan 798 lagi tidak didagangkan. 

 

Bagaimanapun, firma penyelidikan, Hong Leong Investment Bank Research (HLIB Research) kekal optimis bahawa sentimen keseluruhan pasaran akan terus bertahan dengan harapan risiko politik akan mereda, pembukaan semula ekonomi yang akan meraih momentum ditambah aliran masuk asing yang meningkat. 

 

Menariknya petang ini apabila para pelabur tidak melepaskan peluang untuk kembali mendagangkan ekuiti Top Glove Corporation Berhad sehingga saham kumpulan berjaya berakhir di kaunter paling rancak diniagakan. 

 

Ini selepas kumpulan mendedahkan Amerika Syarikat (AS) menarik semula sekatan eksport sarung tangan getah pakai buangnya ke negara berkenaan, berkuatkuasa hari ini. 

 

Baca : Isu buruh paksa selesai, Top Glove boleh eksport semula sarung tangan ke AS

 

Sahamnya berakhir 3 sen lebih tinggi kepada RM3.43 dengan 711,857 saham bertukar tangan, bernilai sekitar RM251 juta.

 

Bagaimanapun, kaunter tersebut masih diungguli oleh saham KNM Group Berhad yang menutup tirai dagangan pada minggu ini 4 sen lebih tinggi kepada 30 sen dengan 3.3 juta saham bertukar tangan. 

 

Dalam kalangan kaunter paling rugi pula, saham Kluang Rubber Company (Malaya) Berhad mencatatkan kemerosotan terbesar, ditutup 34 sen kepada RM4.13. 

 

Turut merasai impak negatif itu adalah saham Nestle (Malaysia) Berhad dan Sungei Bagan Rubber Company (Malaya) Berhad di mana masing-masing berakhir 30 sen dan 26 sen lebih rendah. 

 

Beralih kepada kaunter untung, saham Carlsberg Brewery Malaysia Berhad berakhir dengan lonjakan tertinggi, meningkat 78 sen kepada RM22.98. 

 

Ini diikuti oleh saham Genetec Technology Berhad, Widetech (Malaysia) Berhad, Formosa Prosonic Industries Berhad, Vitrox Corporation Berhad dan Heineken Malaysia Berhad. - DagangNews.com