KLCI hampiri 1,600 mata, Sungei Bagan berakhir paling mantap | DagangNews Skip to main content

KLCI hampiri 1,600 mata, Sungei Bagan berakhir paling mantap

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 8 Sept. - Bursa tempatan mengakhiri dagangan petang ini menghampiri paras 1,600 mata didorong aktiviti pembelian pada saat-saat akhir. 

 

Indeks utama FBM KLCI ditutup 14.15 mata atau 0.89% lebih tinggi kepada 1,597.63 mata meskipun dibuka rendah pada 1,581.72 mata. 

 

Sepanjang hari indeks bergerak dalam jajaran antara 1,579.18 hingga 1,597.63 mata sebelum berakhir dengan 5.9 bilion saham bertukar tangan bernilai RM3.23 bilion. 

 

Bagaimanapun, pasaran global merosot daripada paras tertinggi pada sebelum sebelumnya dengan pasaran Eropah juga jatuh pada Rabu ekoran kebimbangan terhadap pemulihan ekonomi yang perlahan manakala dolar Amerika Syarikat (AS) pula mencecah paras seminggu tertinggi apabila pelabur mengurangkan pendedahan terhadap aset berisiko, lapor Reuters.

 

Dasar akomodatif bank pusat dan keyakinan terhadap pembukaan semula ekonomi telah melonjak pasaran saham global ke paras tinggi, tetapi kebimbangan semakin meningkat mengenai impak penularan varian Delta.

 

Keseluruhan dagangan pasaran tempatan petang ini, bagaimanapun, adalah negatif memandangkan pelabur menantikan keputusan Bank Negara Malaysia esok mengenai kadar dasar semalaman (OPR).

 

Kaunter rugi mengatasi untung pada 707 berbanding 374 manakala 426 tidak berubah dan 730 kaunter tidak diniagakan apabila dagangan berakhir.

 

Sepanjang dagangan hari ini, saham Sungei Bagan Rubber Company (Malaya) Bhd. paling mencuri tumpuan dan mendahului kaunter untung sejak pagi. 

 

Saham syarikat perladangan ini berakhir 51 sen atau 15.94% lebih tinggi kepada RM3.71 dengan 246,800 saham diniagakan. 

 

Ketika memulakan dagangan pagi, sahamnya melonjak 14.06% atau 45 sen kepada RM3.65, paras tertinggi sejak Februari 2018.

 

Selain Sungei Bagan, kaunter untung dimonopoli saham berkaitan perladangan iaitu Kuala Lumpur Kepong Bhd. (KLK) menokok 50 sen kepada RM21.50 diikuti Kluang Rubber Company (Malaya) Bhd. menokok 49 sen kepada RM4.50.

 

Sebaliknya bagi kaunter rugi, Malaysian Pacific Industries Bhd. (MPI) mendahului dagangan susut 38 sen kepada RM46.30.

 

Ia diikuti Panasonic Manufacturing Malaysia Bhd. susut 34 sen kepada RM30.56 dan Genetec Technology Bhd. susut 30 sen kepada RM31.46. 

 

Kaunter aktif pula didahului dengan saham KNM Grop Bhd. susut 5 sen kepada 26.5 sen manakala PUC Bhd dan Fintec Global Bhd. masing-masing menokok 1 sen kepada 17.5 sen dan 0.05 sen kepada 2.5 sen. - DagangNews.com