KLCI, ringgit kurang pemangkin | DagangNews Skip to main content

KLCI, ringgit kurang pemangkin

 

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 8 Feb. - Kenaikan harga minyak mencecah AS$60 setong nampaknya tidak mampu menjadi pemangkin untuk menyokong pasaran saham tempatan. 

 

Bursa tempatan mengakhiri dagangan 0.3% lebih rendah hari ini, berbanding pasaran serantau yang lain seperti Filipina dan Indonesia yang meraih manfaat daripada lonjakan harga minyak, menurut Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim kepada DagangNews.com.

 

Ini menyaksikan indeks utama FBM KLCI susut 5.3 mata untuk ditutup kepada 1,573.33 mata setelah bergerak dalam jajaran antara 1,572.77 hingga 1,586.06 mata. 

 

Jumlah dagangan sebanyak 7.04 bilion bernilai RM4.5 bilion. 

 

Keseluruhan pasaran juga negatif apabila kaunter rugi mengatasi untung pada 620 berbanding 569 manakala 434 kaunter tidak berubah. 

 

Harapan terhadap pemulihan ekonomi berkembang dengan lebih pantas dan pengurangan bekalan oleh Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sekutunya telah menolak harga minyak mencecah ke paras tertinggi setahun menghampiri AS$60 setong, lapor Reuters

 

Sejak beberapa hari kebelakangan ini, pasaran ekuiti global mencatat kenaikan tertinggi dengan harapan ekonomi akan bangkit semula ekoran kejayaan pelancaran vaksin COVID-19 dan pakej bantuan pandemik AS yang besar.

 

Dalam pasaran komoditi, harga minyak mentah Brent dan West Texas Intermediate masing-masing menokok 59 sen kepada AS$59.93 dan AS$57.44 setong. 

 

Bagi pasaran tempatan, Adam Mohamed berkata, keseluruhan kaunter sarung tangan getah dalam indeks FBM KLCI juga masih mencatat kerugian, susut sekurang-kurangnya 2.9%. 

 

"Ini menjadikan indeks penjagaan kesihatan diniagakan 2.3% lebih rendah hari ini, menjadikannya indeks mengikut sektor yang mencatat kerugian paling tinggi," katanya. 

 

Mengenai pasaran kewangan, ringgit ditutup pada RM4.0630/0680 berbanding dolar AS, lebih tinggi berbanding penutupan Jumaat pada, RM4.0680/0730.

 

Menurut HLIB Research, kedudukan mata wang itu dilihat masih lemah terutama menjelang cuti perayaan hujung minggu ini dan juga jangkaan terhadap data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang akan diumumkan Khamis ini. - DagangNews.com