KLCI, ringgit semakin merosot | DagangNews Skip to main content

KLCI, ringgit semakin merosot

 

 

KUALA LUMPUR 18 Feb. - Pasaran tempatan petang ini mengakhiri dagangan dengan lemah apabila indeks utamanya, FBM KLCI susut 19.45 mata atau 1.22% kepada 1,575.84 mata. 

 

Keseluruhan pasaran juga negatif apabila kaunter rugi mengatasi untung pada 823 berbanding 448 manakala 392 kaunter tidak berubah. 

 

Jumlah dagangan sebanyak 14.5 bilion bernilai RM6.74 bilion, lebih tinggi berbanding semalam sebanyak 10.14 bilion bernilai RM5.23 bilion. 

 

Dalam dagangan pagi, pasaran dibuka tinggi walaupun pasaran ekuiti global agak lesu manakala prestasi semalaman Wall Street pula bercampur-campur.

 

Pada pukul 9.06 pagi, FBM KLCI mengukuh 1.73 mata kepada 1,597.02 daripada 1,595.29 ketika ditutup petang Rabu.

 

Sementara itu, bagi pasaran kewangan pula, ringgit ditutup pada RM4.0400/0450 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), lebih rendah daripada penutupan semalam, pada RM4.0370/0420.

 

Menurut HLIB Research dalam nota kajian, pasaran masih lagi berlegar-legar turun naik terutama pada musim laporan kewangan suku keempat 2020. 

 

Tambahan pula, katanya, KLCI gagal mengekalkan dagangan melepasi rintangan 1,618 mata sejak melakukan pemulihan teknikal daripada 1,561 mata pada 29 Januari lalu.

 

"Pun begitu, risiko penurunan masih terbatas pada zon 1,545 hingga 1,561 mata ekoran meningkatnya keyakinan berhubung prospek teguh Rizab Persekutuan AS. 

 

"Ini juga didorong oleh pakej rangsangan AS yang besar, jangkitan COVID-19 semakin menurun di peringkat global dan Malaysia akan memulakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan tidak lama lagi," katanya. - DagangNews.com