KLCI sambung lonjakan semalam, saham F&N, Nestle pula mulakan dagangan di kaunter rugi | DagangNews Skip to main content

KLCI sambung lonjakan semalam, saham F&N, Nestle pula mulakan dagangan di kaunter rugi

Gambar Reuters

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 25 Ogos - Indeks utama pasaran ekuiti tempatan, FBM KLCI menyambung lonjakan besar pada penutupan semalam apabila para pelabur terus menumpukan terhadap saham yang berpotensi pulih pasca COVID-19 pada permulaan dagangan.

 

Pagi ini, indeks itu dibuka 1.21 mata lebih tinggi untuk mencapai paras 1,554.58 daripada penutupan petang semalam, 1,553.37. 

 

Dagangan juga dimulakan agak positif apabila jumlah kaunter untung mengatasi jumlah kaunter rugi, pada perbandingan 184 daripada 79, sementara 286 kaunter tidak berubah dan 1702 lagi tidak didagangkan. 

 

Indeks minyak sawit, sektor perladangan, produk pengguna, penjagaan kesihatan dan amanah pelaburan hartanah menjadi pemacu kepada pergerakan menaik yang ditonjolkan oleh FBM KLCI.

 

Malacca Securities Sdn Bhd percaya sentimen pasaran secara keseluruhannya akan terus disokong oleh pembelian saham pemulihan COVID-19 ketika harga komoditi kian meningkat walaupun ia dijangka direncatkan oleh aktiviti pengambilan untung. 

 

Firma penyelidikan itu yakin perkembangan vaksinasi yang berjalan lancar dan para pelabur yang optimis terhadap prestasi syarikat-syarikat tersenarai akan menyuntik sentimen positif kepada FBM KLCI.

 

Walaupun mencatatkan prestasi kewangan yang agak memberangsangkan, namun saham Nestle (M) Berhad memulakan dagangan di kaunter paling rugi dengan penyusutan 30 sen ketika dibuka kepada RM133.60 sebelum kembali mengungguli kaunter untung setakat 9.13 pagi.

 

Kaunter itu bagaimanapun menyaksikan saham Fraser & Neave Holdings Berhad berada di kedudukan paling tercorot apabila dibuka 50 sen lebih rendah kepada RM27. 

 

Turut menerima impak negatif itu adalah saham Mr D.I.Y. Group (M) Berhad, Pekat Group Berhad, DKSH Holdings (Malaysia) Berhad dan Hong Leong Bank Berhad.

 

Saham Kuala Lumpur Kepong Berhad sebaliknya memulakan dagangan di kaunter paling untung dengan lonjakan 8 sen kepada RM20.58 sebelum terus meningkat kepada RM20.80 setakat 9.15 pagi. 

 

Ini diikuti oleh saham Hong Leong Financial Group Berhad yang melonjak 14 sen kepada RM18.16 setakat 9.16 pagi. 

 

Dalam kalangan kaunter paling rancak diniagakan, T7 Global Berhad kekal antara saham yang menjadi tumpuan pelabur dengan lonjakan 0.05 sen kepada 35.5 sen setakat 9.20 pagi. 

 

Turut aktif didagangkan adalah saham D'nonce Technology Berhad, KNM Group Berhad, Dagang Nexchange Berhad, CTOS Digital Berhad, dan PUC Berhad. - DagangNews.com