Kontrak ExxonMobil dijangka beri untung bersih antara RM2.2 juta hingga RM2.8 juta kepada Uzma | DagangNews Skip to main content

Kontrak ExxonMobil dijangka beri untung bersih antara RM2.2 juta hingga RM2.8 juta kepada Uzma

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 15 Feb - Kejayaan Uzma Berhad meraih kontrak daripada ExxonMobil Exploration and Production Malaysia Inc. dijangka memberi keuntungan bersih sekitar 5.6% iaitu antara RM2.2 juta ke RM2.8 juta kepada kumpulan bermula FY22 hingga FY24.

 

Public Investment Bank berkata, kontrak yang diperoleh itu bagaimanapun tidak menetapkan komitmen untuk sebarang kerja khus dan ia bergantung kepada arahan kerja yang akan diserahkan kepada Uzma dari semasa ke semasa.

 

"Memandangkan kontrak itu tidak menetapkan sebarang kerja secara khusus, menjadikan ia tiada sebarang nilai tetap namun kami menjangkakan nilainya adalah antara RM40 juta hingga RM50 juta untuk tempoh dua tahun," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Tempoh kontrak berkenaan adalah selama 24 bulan bermula 13 Januari 2022 hingga 12 Januari 2024.

 

Firma penyelidikan itu berkata, skop kerja Uzma adalah melibatkan pendawaian elektrik tanpa pelantar di perairan Malaysia Barat selain perundingan teknikal serta penyediaan unit talian elektrik.

 

Mereka juga akan terlibat dengan aktiviti pembalakan, traktor, penembusan boleh ditukar ganti antara kenderaan yang berbeza seperti E-Line, perkhidmatan tetapan palam/pembungkus, alat bantu lubang bawah dan perkhidmatan lain untuk semua jenis telaga.

 

"Kami juga melihat kontrak itu sangat positif dalam mengukuhkan perkhidmatan Uzma di dalam industri huluan terutama dalam menyelenggara sisitem telaga.

 

"Menerusi kontrak itu juga, nilai tempahan projek Uzma untuk segmen minyak dan gas akan kekal sihat pada nilai RM2 bilion" katanya.

 

Firma penyelidikan itu juga percaya, peningkatan kes COVID-19 tidak akan menjejaskan keberkesanan operasi mereka dan perkara itu sudah dinilai menerusi unjuran pendapatan kumpulan.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Uzma Berhad lantik Farisha Pawan Teh anggotai lembaga pengarah

 

Firma itu mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran pada 73 sen sesaham dan mereka juga melihat kontrak itu sebagai tambahan untuk pendapatan FY22. - DagangNews.com