KUALA LUMPUR 25 Sept - RHB Investment menjangkakan kontraktor di Johor terus menerima manfaat dalam beberapa tahun akan datang hasil daripada pelbagai projek pembangunan termasuk Sistem Transit Rapid Singapura-Johor Bahru (RTS Link).
Firma penyelidikan itu berkata, bahagian projek RTS Malaysia telah siap 41% pada Julai, dan dijangka siap menjelang akhir 2026 dengan Sunway Construction merupakan kontraktor untuk jejambat.
Katanya, pada Mac lalu, Sunway Construction dianugerahkan dengan kontrak RM604.9 juta daripada Mass Rapid Transit System, meliputi Pakej 1B (kerja-kerja awal untuk stesen dan jejambat) dan Pakej 5 (jejambat darat dan struktur sampingan).
"Sementara itu, jejambat marin sedang dibina oleh kontraktor yang berpangkalan di China, dan ini juga telah menyaksikan kemajuan yang membanggakan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma penyelidikan itu berkata, pakej pembinaan stesen RTS Bukit Chagar dan juga Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin bagaimanapun masih belum diberikan, selepas tender dibuka antara Mei dan Ogos.
Sunway Construction telah mengemukakan tender untuk Pakej 2A dan 2B untuk stesen itu yang dianggarkan bernilai RM400 juta hingga RM700 juta.
"Kami melihat Sunway Construction sebagai pendahulu untuk pakej tersebut, kerana ia telah pun terlibat dalam beberapa kerja cerucuk bagi kompleks itu manakala Gadang Holdings mendapat pekerjaan untuk pakej 4 dan 6 (stesen Bukit Chagar dan pusat kawalan operasi)," katanya.
RHB Investment berkata, Gamuda Berhad menjadi antara pilihan utama selepas mengambil kira kehadiran mereka di pasaran antrabangsa selain Kerjaya Prospek Group Berhad berdasarkan kerangka kerja bersama Samsung membolehkannya mendapat lebih pendedahan kepada projek swasta yang lebih canggih.
"Bagaimanapun kami lebih cenderung untuk memilih Sunway Cosntruction bukan sahaja aliran kerja yang stabil daripada syarikat indusknya tetapi prestasi cemerlangnya di Johor dengan RM1.7 bilion nilai projek siap.
"Kami mengekalkan saranan 'overweight' untuk sektor itu," katanya. - DagangNews.com