Kos jualan tinggi, risiko inflasi jejaskan pendapatan Hup Seng Industries | DagangNews Skip to main content

Kos jualan tinggi, risiko inflasi jejaskan pendapatan Hup Seng Industries

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 11 Ogos - BIMB Securities Research menjangkakan Hup Seng Industries berdepan pelbagai halangan yang boleh menjejaskan pendapatan mereka dalam tempoh terdekat. 

 

Firma itu berkata, antara perkara yang akan menjejaskan kumpulan itu termasuk kos jualan yang lebih tinggi, risiko inflasi dan sentimen pengguna yang lemah.

 

"Kami berhati-hati dengan prospek jangka pendeknya dan akan mendapatkan penjelasan yang lebih baik daripada pihak pengurusan," katanya dalam satu nota kajian hari ini.

 

Terdahulu, hasil Hup Seng untuk 2QFY22 meningkat sebanyak 11% dari tahun ke tahun tetapi menurun sebanyak 6.9% dari suku ke suku hasil sumbangan yang lebih rendah daripada pasaran domestik dan eksport.

 

Susulan itu, keuntungan bersih teras juga menurun atau sebanyak 15.1% kerana oleh kos jualan yang lebih tinggi yang melonjak sebanyak 19.0%.

 

Firma itu berkata, pendapatan kumpulan terkesan akibat kenaikan kos bahan mentah termasuk minyak sawit dan tepung gandum yang menyumbang 70% daripada kos keseluruhan bahan mentah.

 

Katanya, perkara itu diburukkan lagi oleh sentimen pembeli yang lemah dan inflasi yang semakin meningkat.

 

"Margin bersih kumpulan menyusut kepada 4.1% pada 2QFY22," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga saranan (TP) 69 sen. - DagangNews.com