KUALA LUMPUR 4 Ogos - PublicInvest Research menjangkakan Kossan Rubber Industries Berhad akan terus berhadapan tekanan margin keuntungan akibat kenaikan kos bahan api sejak 1HFY22.
Firma itu berkata, kos bahan api kumpulan itu dijangka terus meningkat pada 2HFY22.
Katanya, margin keuntungan kumpulan itu akan terus terkesan akibat kadar penggunaan yang rendah ditambah pula dengan kejatuhan harga purata jualan (ASP).
"Harga bahan mentah bagaimanapun dijangka turun pada 2HFY22 dan ia dilihat akan mengimbangi kesan terhadap kenaikan kos lain bagi kumpulan itu.
"Difahamkan bahawa rancangan pengembangannya terpaksa ditangguhkan kerana isu lebihan bekalan dan kenaikan harga kos bahan binaan yang tinggi terutama harga bar keluli," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma itu berkata, kekurangan tenaga kerja kekal sebagai isu utama bagi kebanyakan syarikat pembuatan manakala kenaikan gaji minimum akan meningkatkan lagi kos tenaga kerja.
Bagaimanapun, kumpulan itu terus berusaha menggunakan teknologi automasi di bahagian pengeluarannya bagi mengurangkan kebergantungan kepada tenaga buruh selain meningkatkan kecekapan serta produktiviti serta kualiti produk.
"Apabila kossan mencapai kadar automasi yang ditetapkan, kami menjangkakan operasi kumpulan itu akan menjadi lebih efisyen dan membantu mereka dalam menjimatkan kos," katanya.
Firma itu mengekalkan saranan 'neutral' terhadap saham Kossan dengan harga sasaran (TP) RM1.23. - DagangNews.com