KPM tetapkan ujian RTK-Antigen pelajar sekolah harian dilaksana di rumah | DagangNews Skip to main content

KPM tetapkan ujian RTK-Antigen pelajar sekolah harian dilaksana di rumah

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 11 Jan - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menetapkan pemberian kit ujian pantas (RTK-Antigen) air liur di sekolah harian dilaksanakan di rumah mulai minggu ini.

 

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, kit ujian kendiri itu akan disediakan pihak sekolah kepada murid yang terpilih secara rawak.

 

Beliau berkata, tatacara pelaksanaan ujian tersebut akan dijelaskan dengan lebih lanjut dalam kenyataan oleh KPM.

 

“Berdasarkan Strategi Pengujian COVID-19 Kebangsaan yang dikeluarkan KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia), 10% murid dipilih secara rawak setiap minggu untuk menjalani ujian kendiri COVID-19 yang dilaksanakan di sekolah sejak 1 Disember lalu.

 

“KKM bersetuju membenarkan saringan ini dilaksanakan di rumah dan keputusan dimaklumkan kepada pihak sekolah," katanya dalam satu rakaman video di laman Facebook hari ini.

 

Sementara itu, Radzi menegaskan agar ibu bapa dapat melaksanakan ujian saringan COVID-19 itu berdasarkan tatacara yang telah ditetapkan bagi memastikan sesi persekolahan dapat berlangsung dengan teratur dan selamat.

 

“Jika ia tidak dilaksanakan mengikut tatacara yang ditetapkan, yang akan terkesan bukan sahaja anak saudara saudari tetapi kawan-kawan mereka serta guru-guru mereka di sekolah.

 

“Ibu bapa perlu memainkan peranan untuk memastikan ujian ini dapat dilaksanakan dengan teratur dan mengikut segala prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan KKM.

 

“Kami ingin memastikan sesi persekolahan dapat terus berlangsung dengan selamat dan saya yakin dengan usaha serta kerjasama daripada ibu bapa, kita dapat bersama-sama memastikan anak-anak dapat hadir ke sekolah dengan selamat,” katanya. - DagangNews.com