KWSP kini bukan pemegang saham utama Serba Dinamik | DagangNews Skip to main content

KWSP kini bukan pemegang saham utama Serba Dinamik

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 30 Jun - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kini bukan lagi pemegang saham utama Serba Dinamik Holdings Bhd., setelah melupuskan 96 juta saham menerusi maklumannya di Bursa Malaysia petang ini.

 

Dana persaraan terbesar di Malaysia itu bertindak melupuskan pegangan secara langsung dalam syarikat itu menerusi pasaran terbuka pada 25 Jun. 

 

Pada 28 Jun, KWSP telah bertindak melupuskan 2.04 juta saham menjadikan pegangannya menyusut kepada 7.57% berbanding 10.15% pada awal Jun lalu.

 

KWSP, pada Isnin menyatakan kebimbangan berhubung perkembangan terkini membabitkan Serba Dinamik yang menyebabkan kerugian besar dalam nilai pemegang saham.

 

Perkembangan itu termasuk peletakan jawatan empat pengarah firma perkhidmatan minyak dan gas itu serta KPMG sebagai juruaudit bebas Serba Dinamik.

 

Seperti dilaporkan Bloomberg, KWSP turut menggesa Lembaga Pengarah Serba Dinamik supaya segera melaksanakan tinjauan bebas dan mengambil tindakan untuk menyelesaikan semua masalah.

 

Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) adalah pemegang saham pertama bertindak melupuskan pegangan dalam Serba Dinamik dan setakat 2 Jun lalu telah melupuskan 26.03 juta saham.

 

Ini menjadikan KWAP bukan lagi pemegang saham utama syarikat perkhidmatan minyak dan gas serta kejuruteraan tersebut yang disenaraikan pada 2017.

 

Saham Serba Dinamik menjunam hampir 80 peratus sejak bulan lalu, selepas KPMG membangkitkan isu transaksi meragukan berjumlah lebih RM3 bilion dalam audit kewangan tahun 2020.

 

Serba Dinamik mengambil tindakan undang-undang ke atas KPMG sekali gus menyebabkan juruaudit itu menamatkan khidmatnya.

 

Dalam makluman berasingan petang ini juga, Serba Dinamik memaklumkan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Dr Mohd. Abdul Karim Abdullah mengurangkan pegangannya kepada 25.8% setelah melupuskan 46.3 juta saham secara 'force-selling'

 

Sebelum ini, beliau memiliki 27.07% pegangan dalam syarikat berkenaan dan juga merupakan pemegang saham utama dalam KPower Bhd. dan Sarawak Consolidated Industries Bhd. (SCIB). 

 

Turut mengikut jejak yang sama, pengasas bersama dan pengarah bukan bebas, Datuk Awang Daud Awang Putera juga dipaksa melupuskan 26.95 juta saham menjadikan pegangannya berkurangan kepada 0.69%.

 

Petang ini, saham Serba Dinamik ditutup 3.13% lebih tinggi kepada 33 sen dengan 379.58 juta saham diniagakan menjadikan nilai pasaran syarikat pada RM1.21 bilion. - DagangNews.com