Kenanga Research turunkan taraf saranan sektor hartanah kepada 'Underweight' | DagangNews Skip to main content

Kenanga Research turunkan taraf saranan sektor hartanah kepada 'Underweight'

Taraf saranan sektor hartanah diturunkan daripada 'Neutral' kepada 'Underweight' . Gambar NAIM AZIZ/DagangNews
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 6 Mei - Kenanga Research menurunkan taraf saranan sektor hartanah daripada 'Neutral' kepada 'Underweight' susulan semakin sukar mencari nilai dalam saham hartanah kerana harganya melonjak jauh melebihi fundamental.

 

Firma penyelidikan itu turut menurunkan taraf saranan untuk Sime Darby Property dan SP Setia kepada 'Underperform' daripada 'Perform' dan 'Market Perform'.

 

"Untuk pendapatan yang lebih segera, kami masih lebih cenderung untuk melabur dalam syarikat yang memberi tumpuan kepada perumahan mampu milik. 

 

"Ini disebabkan oleh cabaran dihadapi akibat peningkatan kos sara hidup dan kadar faedah yang meningkat, serta populasi yang semakin membesar dari golongan muda yang mencari penyelesaian perumahan yang mampu milik," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Kenanga Research pada sama sama memilih MKH kerana fokusnya kepada projek perumahan mampu milik dan berorientasikan transit (TOD). 

 

Katanya, kumpulan ini merancang untuk melancarkan apartmen perkhidmatan mampu milik yang tinggi dan kedai-kedai runcit dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM581.9 juta.

 

"Di samping itu jumlah jualan belum dibayar MKH adalah sebanyak RM722.0 juta dengan kemampanan pendapatan dijangka selama dua tahun akan datang. 

 

"Kami juga suka MKH kerana perniagaan perladangan yang berkembang di Kalimantan dan lokasinya yang berhampiran dengan ibu negara baru Indonesia bakal membuka pelbagai peluang," jelasnya.

 

Sementara itu, firma penyelidikan itu merasakan terdapat permintaan baik untuk hartanah di Johor Bahru, diperhebat oleh potensi ekonominya dan lonjakan permintaan yang dijangka daripada aliran pembangunan infrastruktur. 

 

Katanya, pemaju dengan pendedahan terbesar di Johor dari segi peratusan jumlah GDV efektif yang masih berbaki adalah UEM Sunrise, Ec World, Mah Sing, Sim Darby Properti dan SP Setia," ujarnya.


"Pemerhatian kami terhadap pelbagai pembangunan hartanah di Johor semasa lawatan lapangan mendedahkan pandangan mengenai landskap hartanah yang berkembang. 

 

"Walaupun ciri-ciri yang menjanjikan seperti harga yang menarik, kadar penghunian yang tinggi, dan kedudukan strategik berhampiran dengan infrastruktur masa depan seperti rangkaian RTS dan HSR adalah jelas, cabaran seperti aksesibiliti pengangkutan awam yang terhad, kesesakan jalan raya  dan kebimbangan mengenai pemeliharaan pembangunan sekitar juga timbul," katanya. - DagangNews.com