Lagenda Properties, Bina Darulaman bekerjasama bangunkan Darulaman Lagenda di Sungai Petani | DagangNews Skip to main content

Lagenda Properties, Bina Darulaman bekerjasama bangunkan Darulaman Lagenda di Sungai Petani

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 2 Sept - Lagenda Properties Berhad dan Bina Darulaman Berhad (BDB) akan bekerjasama membangunkan perumahan mampu milik di kenali sebagai Darulaman Lagenda di Sungai Petani, Kedah.

 

Dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM593 juta, perbandaran tiga fasa itu merupakan pembangunan perbandaran mampu milik terbesar di Kedah dengan lebih 2,500 rumah bertanah.

 

Ia juga menandakan pembangunan perbandaran pertama Lagenda Properties di negeri itu.

 

Fasa pertama Darulaman Lagenda merangkumi 285 rumah bertanah dengan harga jualan di bawah RM250,000 seunit.

 

Pengerusi Lagenda Properties, Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin berkata, pembangunan perumahan mampu milik masa hadapan harus disesuaikan dengan perbandaran yang membolehkan pemilik rumah menikmati pengalaman hidup yang berkualiti dan bermasyarakat.

 

"Ini akan menyumbang secara positif kepada Rancangan Malaysia Ke-12 yang diterajui oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk menyediakan 500,000 rumah mampu milik, memberi manfaat kepada masyarakat," katanya.

 

Walaupun perbandaran itu menjurus kepada menangani permintaan untuk rumah mampu milik dalam kalangan isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana, Ahmad Kamarulzaman berkata, ia juga disasarkan ke arah mencapai aspirasi “Satu Keluarga Satu Rumah” Lagenda Properties.

 

bdb
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor (tengah) bersama Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif BDB, Mohd Iskandar Dzulkarnain Ramli (kiri); Pengerusi Eksekutif BDB Che Had Dhali (dua dari kiri); Pengerusi Lagenda Properties, Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin (dua dari kanan) dan Pengarah Urusan Lagenda Properties, Datuk Jimmy Doh.

 

Pengarah Urusan Lagenda Properties, Datuk Jimmy Doh berkata, tindakan mereka keluar daripada Perak ke Kedah adalah langkah yang tepat pada masanya kerana ramai orang di negeri itu sukar membeli rumah sendiri.

 

"Dengan kepakaran kami dalam pembangunan mampu milik dan kekuatan BDB di Kedah, kami yakin ini hanyalah langkah pertama dalam mengurangkan krisis kemampuan di kawasan sekitar,” katanya.

 

Perbandaran itu terletak di kawasan strategik, luas dan direka bentuk mesra alam untuk memastikan kawasan hijau yang luas dan kawasan komuniti disediakan untuk pelbagai peringkat umur dan dilengkapi dengan semua kemudahan yang diperlukan untuk kehidupan berkualiti.

 

Ia juga dilengkapi pelbagai kemudahan seperti rumah kelab, padang bola, gelanggang badminton, kolam renang, trek berbasikal dan joging yang biasanya tidak dapat dicapai pada harga itu. - DagangNews.com