Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 30 Ogos - Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) yang terus mengambil langkah berhati-hati dari segi kos dan perbelanjaan dilihat boleh menjejaskan pemain sektor minyak dan gas (O&G) tempatan.
Apatah lagi, Petronas juga menyatakan komitmennya untuk meningkatkan bayaran dividen dan terhadap tenaga diperbaharui.
Dalam hal ini, Kenanga Research percaya, ia akan menyebabkan pemulihan dan aliran kerja yang perlahan kepada kontraktor tempatan terutama Velesto Energy, Dayang Enterprise Holdings Bhd. dan Uzma Bhd.
Penganalisisnya, Steven Chan berkata, secara realistiknya, aktiviti bagi sektor O&G tidak akan kembali ke tahap prapandemik COVID-19 pada bila-bila masa sebelum 2023.
"Oleh itu, bagi memastikan pertumbuhan yang mapan, kami yakin pemain sektor ini perlu meningkatkan kemampuan untuk bersaing di pasaran luar negara.
"Malah, mereka juga perlu mengembangkan perkhidmatan dalam sektor tenaga yang lain untuk memastikan daya tahan portfolio pada masa depan," katanya dalam nota kajian hari ini.
Firma itu mengekalkan saranan 'neutral' terhadap sektor O&G dengan mengambil kira harga minyak mentah kembali meningkat di sebalik keseluruhan sektor yang masih lemah.
Ia juga menambah, prospek bagi harga produk seperti minyak mentah dan petrokimia dijangka kembali normal pada separuh kedua ini dan seterusnya.
Kenanga Research turut melihat nilai baharu muncul dalam Dialog Group dan Yinson Holdings Bhd. berdasarkan kelemahan harga saham baru-baru ini.
Malah, syarikat-syarikat ini juga terbukti berdaya tahan dan memiliki pengurusan yang kukuh dan berdaya maju. Ia memberi harga sasaran untuk Dialog pada RM3.50 diikuti Yinson, RM6.00.
Jumaat lalu, Petronas mengumumkan prestasi kewangan suku kedua berakhir 30 Jun 2021 yang menyaksikan syarikat petroleum nasional itu kembali meraih keuntungan selepas cukai berjumlah RM9.6 bilion, berbanding kerugian selepas cukai RM21 bilion bagi tempoh sama tahun lalu.
Prestasi lebih baik yang dicatatkan syarikat petroleum nasional itu adalah berikutan pendapatan lebih tinggi sebanyak RM57.1 bilion, melonjak 68% berbanding RM34 bilion yang dicatatkan pada suku kedua 2020.
Bagi tempoh separuh pertama tahun ini, keuntungan selepas cukai Petronas meningkat 100% kepada RM18.9 bilion berbanding kerugian selepas cukai RM16.5 bilion bagi tempoh 6 bulan pertama tahun lalu disokong pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) lebih tinggi dan kerugian rosot nilai yang rendah berikutan kenaikan harga.
Oleh itu, ia membolehkan Petronas membayar dividen tambahan RM7 bilion kepada kerajaan menjadikan keseluruhan berjumlah RM25 bilion tahun ini.
Pembayaran itu adalah tambahan kepada RM18 bilion seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2021 yang dibentangkan pada November tahun lalu.
Sementara itu, penganalisis AmInvestment Bank Research, Alex Goh berkata, jumlah projek yang dianugerahkan pada suku kedua dilihat menyusut 33% suku ke suku kepada RM2.2 bilion ekoran gangguan bekalan global yang sedang diselesaikan.
"Tidak termasuk kontrak projek bernilai RM7.7 bilion pada suku kedua 2020 yang dianugerahkan kepada Serba Dinamik Holdings Bhd. untuk membina hab inovasi di Arab Saudi disebabkan masalah audit yang dibangkitkan juruauditnya sebelum ini, jumlah kontrak baharu pada separuh pertama kepada syarikat O&G tempatan meningkat 2.6x tahun ke tahun kepada RM5.6 bilion, dengan sebahagian besarnya daripada pelbagai projek yang dianugerahkan kepada Sapura Energy Bhd.
"Pemulihan daripada aliran perbelanjaan yang terjejas hanyalah RM569 juta pada suku pertama 2020 disebabkan perang harga antara Saudi-Rusia dan bermulanya penularan wabak COVID-19," katanya.
Kenanga Research mengekalkan saranan 'overweight' terhadap sektor O&G dengan 8 saranan 'beli' berbanding 1 saranan 'jual'.
Firma itu memilih Dialog disebabkan terminal tangki yang kukuh dan operasi berasaskan penyelenggaraan manakala Yinson pula mempamerkan pertumbuhan pendapatan yang kukuh.
"Selain itu, kami juga menyukai Sapura Energy kerana pakej penyusunan semula hutang bernilai RM10 bilion yang lengkap meletakkan kumpulan EPCIC untuk meraih projek global.
"Dalam pada itu, Petronas Gas Bhd. juga menawarkan hasil dividen yang menarik daripada strategi struktur modal yang optimum dan asas pendapatan berdaya tahan," jelasnya. - DagangNews.com