Lantikan Azam Baki adalah ikut Seksyen 5 Akta SPRM 2009 | DagangNews Skip to main content

Lantikan Azam Baki adalah ikut Seksyen 5 Akta SPRM 2009


Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 10 Jan - Bekas Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri ke-8, Datuk Dr. Marzuki Mohamad menegaskan bahawa pelantikan Tan Sri Azam Baki selaku Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dibuat mengikut Seksyen 5 Akta SPRM 2009.

 

Beliau berkata, lantikan itu dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di atas saranan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika itu.

 

Katanya, seperti pelantikan pegawai tinggi kerajaan lain, Perdana Menteri secara kebiasaannya akan menerima cadangan daripada Ketua Setiausaha Negara atau mana-mana pihak yang diperuntukan di bawah undang-undang dan cadangan itu akan dikemukakan dalam bentuk kertas cadangan pelantikan pegawai merangkumi laporan mengenai kelayakan serta justifikasi pelantikan.

 

"Terdapat proses tertentu dalam perkhidmatan awam yang menentukan kelayakan seseorang pegawai untuk dilantik ke mana-mana jawatan. Ini termasuk proses tapisan keselamatan.

 

"Bagi pegawai yang sedang berkhidmat pula, mereka tertakluk kepada pelbagai peraturan dan syarat termasuk pengisytiharan harta.

 

"Ada borang tertentu yang perlu diisi dan kaedah tertentu yang perlu dipatuhi oleh seorang pegawai yang sedang berkhidmat dalam mengisytiharkan harta masing-masing," katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

 

Terdahulu, Penasihat Khas Kepada Perdana Menteri (Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia), Datuk Seri Azalina Othman Said menerusi satu hantaran di Facebook mempertikaikan sama ada Perdana Menteri ke-8 membuat semakan latar belakang Azam atau sebaliknya sebelum menyandang jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM.

 

Marzuki menegaskan bahawa tidak timbul isu sama ada Perdana Menteri Ke-8 membuat semakan latar belakang pegawai sebelum pelantikan dibuat kerana proses itu dibuat secara teratur dan mengikut kaedah yang ditetapkan.

 

"Sebarang isu yang timbul selepas itu hendaklah ditangani menurut peruntukan undang-undang dan peraturan yang sedang berkuatkuasa.

 

"Saya percaya sebagai pegawai tinggi kerajaan yang sedang dalam perkhidmatan, beliau tertakluk kepada semua syarat dan proses ini sebelum dan selepas pelantikan dibuat," katanya. - DagangNews.com