Lebih 300 lagi Pusat Pemberian Vaksin dibuka secepat mungkin, kata PM | DagangNews Skip to main content

Lebih 300 lagi Pusat Pemberian Vaksin dibuka secepat mungkin, kata PM

KUALA LUMPUR 5 Jun - Lebih 300 lagi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bagi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) akan dibuka secapat mungkin, kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

 

Pada masa ini kata Perdana Menteri, lebih 280 PPV sedang beroperasi di seluruh negara.

 

"Sebanyak 105 klinik kesihatan Kementerian Kesihatan (KKM), dewan awam dan universiti serta kompleks sukan dan stadium tertutup sudah pun beroperasi.

 

"Beberapa PPV mega juga sudah diwujudkan dan jumlah ini akan terus ditambah dalam masa terdekat terutama di kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi seperti di Lembah Klang, Johor, Pulau Pinang dan Sarawak, selari dengan penambahan stok vaksin," katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika berucap mengenai perkembangan PICK menerusi Facebook serta disiarkan secara langsung beberapa stesen televisyen.

 

Perdana Menteri juga meminta rakyat Malaysia tampil ke hadapan sebagai sukarelawan untuk membantu melancarkan proses pemberian vaksin.

 

PM
MUHYIDDIN YASSIN semasa menyampaikan perkembangan terkini COVID-19 menerusi Facebook rasminya yang turut disiarkan secara langsung di televisyen pukul 11 pagi tadi.

 

Sehubungan itu, Muhyiddin berkata, golongan belia serta badan bukan kerajaan dialu-alukan untuk menyumbang tenaga dan masa.

 

"Rakyat negara ini diseru agar tampil ke hadapan sebagai sukarelawan untuk membantu melancarkan proses pemberian vaksin.

 

"Golongan belia serta badan bukan kerajaan dialu-alukan untuk menyumbang tenaga dan masa bagi menjayakan program vaksinasi terbesar dalam sejarah negara," katanya.

 

Perdana Menteri berkata, kerajaan komited untuk sentiasa menambah baik Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dari semasa ke semasa.

 

Beliau mengakui masih ada kelemahan yang perlu diperbaiki, namun kerajaan akan terus berusaha sebaik mungkin bagi memastikan program vaksinasi berjalan lancar dan teratur.

 

"Sebagai kerajaan yang prihatin, kita sentiasa mendengar keluhan dan maklum balas rakyat.

 

"Kerajaan akan sentiasa meningkatkan keupayaan dari segi perancangan, kapasiti serta tenaga kerja bagi mencapai objektif utama sasaran kita, iaitu imuniti kelompok," katanya.

 

Perdana Menteri sekali gus menggesa pembabitan serta sokongan semua pihak dalam usaha mencapai sasaran 80 peratus menerima vaksin bagi membentuk imuniti kelompok.

 

Beliau berkata, pembabitan serta sokongan semua pihak diperlukan dalam pendekatan 'whole of government' dan 'whole of society' untuk mencapai sasaran itu.

 

"Bagi yang sudah menerima suntikan vaksin, diingatkan supaya tidak mengambil mudah mengenai pemakaian pelitup muka dan langkah pencegahan jangkitan COVID-19.

 

"Bersama-samalah kita memainkan peranan sebagai barisan hadapan untuk keluarga dan komuniti kita.

 

"Jangan sesekali kita leka dalam peperangan menentang COVID-19 ini," katanya. - DagangNews.com