Lebih 82,500 perniagaan baharu didaftarkan, 4,542 ditutup | DagangNews Skip to main content

Lebih 82,500 perniagaan baharu didaftarkan, 4,542 ditutup

KUALA LUMPUR 29 Julai - Sebanyak 82,555 perniagaan baharu telah didaftarkan di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 bagi tempoh 1 April hingga 19 Julai tahun ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, selain jumlah tersebut, rekod SSM turut mencatatkan sebanyak 4,542 permohonan penamatan perniagaan telah diterima oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

"Statistik tersebut menunjukkan jumlah perniagaan baharu yang didaftarkan juah melebihi jumlah permohonan penutupan perniagaan iaitu sebanyak 95% bagi tempoh yang dimaksudkan itu (April hingga Julai)," jelasnya ketika menjawab soalan bertulis Tan Kok Wai (PH-Cheras) di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau memberi respon berkenaan ketika diminta menyatakan jumlah perniagaan yang berdepan dengan penggulungan dari bulan April hingga Julai 2020 serta jumlah perniagaan baharu yang didaftarkan dalam tempoh sama.

Jelas Rosol lagi, penutupan syarikat pada bulan April adalah sebanyak 278 syarikat diikuti Mei (1,565), Jun (1,595) dan Julai (1,107).

Bagi jumlah permohonan pendaftaran pula, permohonan pada April adalah sebanyak 1,854, Mei (10,936), Jun (39,931) dan Julai (29,834).

Tambahnya, situasi tersebut adalah suatu amalan biasa apabila berlakunya kemerosotan ekonomi.

"Bila berlakunya kemerosotan ekonomi, akan ada mereka yang dibuang kerja dan sebagainya. Maka berlakukan peningkatan pendaftaran untuk perniagaan baharu.

"Mereka terpaksa memilih jalan untuk teruskan kehidupan mereka," ujarnya.

Sementara itu, beliau turut disoal sama ada penyertaan perniagaan e-dagang turut termasuk dalam jumlah keseluruhan permohonan pendaftaran bagi perniagaan baharu.

Beliau memberitahu, secara umumnya kebanyakan daripada jumlah tersebut adalah e-dagang kerana pendaftaran syarikat menunjukkan peningkatan bermula April.

"Ketika itu kedai yang berbentuk fizikal dilarang beroperasi. Maka perniagaan secara dalam talian menjadi rebutan dan pilihan peniaga," katanya lagi. - DagangNews.com