Lebih ramai berpeluang tunaikan haji - Tabung Haji | DagangNews Skip to main content

Lebih ramai berpeluang tunaikan haji - Tabung Haji

 

 

KUALA LUMPUR 10 Mac - Lembaga Tabung Haji menyifatkan penambahan kuota haji akan memberi peluang kepada lebih ramai rakyat Malaysia menunaikan ibadat haji serta dapat mengurangkan masa menunggu pada masa hadapan.

 

Malah, Tabung Haji dalam kenyataan hari ini turut menyambut baik usaha Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berjaya memperoleh 10,000 kuota tambahan semasa pertemuannya dengan Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed Salman Abdulaziz Al Saud semalam.

 

"Saban tahun Tabung Haji akan membuat persediaan rapi merangkumi pelbagai aspek di tanah air dan tanah suci bagi memastikan kelancaran umat Islam di Malaysia melaksanakan rukun Islam kelima ini," katanya.

 

Kerajaan Arab Saudi semalam, bersetuju memberikan tambahan 10,000 kuota haji untuk jemaah Malaysia.

 

Muhyiddin ketika lawatan rasmi 4 hari ke negara itu berkata, beliau mengemukakan permohonan itu ketika menghadap Mohammed Salman yang juga Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan negara itu di Istana Al-Yamamah.

 

Beliau berkata, apabila situasi haji kembali normal selepas pandemik COVID-19, Malaysia akan mendapat kuota haji itu untuk para jemaah.

 

Malah, Putera Mahkota juga memberi jaminan dan jawapan positif terhadap permohonan itu kerana Arab Saudi sentiasa mengalu-alukan jemaah Malaysia yang terkenal dengan tingkah laku yang baik, berdisiplin dan kurang menimbulkan masalah. 

 

Menurut laman web Tabung Haji, kerajaan Arab Saudi menetapkan kuota haji untuk setiap negara sebanyak 0.1% daripada jumlah penduduk dan kuota haji untuk Malaysia pada masa ini ialah 31,600.

 

Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata, rakyat Malaysia perlu bersabar kerana bilangan jemaah yang dibenarkan untuk menunaikan rukun Islam kelima itu tahun lepas sangat terhad berikutan pandemik global itu. - DagangNews.com