Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 13 Nov. - Imbangan Akaun semasa (CAB) Malaysia menyaksikan lebihan lebih tinggi pada suku ketiga 2020 (3Q20) melonjak kepada RM26.1 bilion.
Ini didorong oleh prestasi ketara pada eksport barangan dan lebihan pada pendapatan sekunder.
Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, lebihan CAB yang lebih tinggi terutamanya disebabkan oleh peningkatan eksport bersih barangan kepada RM41.5 bilion dan didorong oleh pendapatan sekunder yang buat pertama kalinya merekodkan lebihan RM7.1 bilion setelah defisit berterusan sejak tahun 1994.
“Eksport barangan mencatatkan RM204.9 bilion berbanding RM165.2 bilion pada suku sebelumnya disokong oleh eksport produk elektrik dan elektronik, petroleum dan produk berasaskan minyak sawit.
“Di samping itu, pendapatan sekunder mencatatkan terimaan yang lebih tinggi sebanyak RM14.3 bilion disebabkan oleh pindahan yang diterima sebagai sebahagian daripada penyelesaian dari luar negara,” kata Mohd. Uzir dalam siaran Imbangan Pembayaran Suku Tahunan, Suku Tahun Ketiga 2020 hari ini.
Dalam pada itu, akaun kewangan pada suku berkenaan secara konsisten mencatatkan aliran keluar bersih RM35.2 bilion berbanding RM19.8 bilion pada suku lalu disebabkan aliran keluar dalam pelaburan portfolio yang lebih tinggi.
Jelas Mohd. Uzir, aliran keluar yang tinggi itu disebabkan oleh pembelian portfolio bukan residen yang lebih tinggi dan penjualan ekuiti sekuriti oleh bukan residen.
“Pelaburan Langsung Asing (FDI) menunjukkan aliran keluar bersih RM0.8 bilion pada suku ini setelah mencatat aliran masuk berterusan sejak 2010.
“Aliran keluar terutamanya adalah ke Netherlands, United Kingdom dan Cayman Islands dalam sektor pembuatan dan perlombongan.
“Pelaburan Langsung Di Luar Negeri (DIA) berkurang kepada RM2.2 bilion daripada RM3.5 bilion disebabkan oleh pelaburan ekuiti yang lebih rendah,” tambah Mohd. Uzir.
Sektor utama DIA adalah kewangan, pembuatan dan maklumat serta komunikasi yang disalurkan ke Kanada, Cayman Islands dan United Kingdom.
Rizab antarabangsa berkurang kepada RM436.4 bilion berbanding RM443.0 bilion pada suku sebelumnya. - DagangNews.com