KUALA LUMPUR 20 Jun - Lebihan perdagangan Malaysia meningkat sebanyak 21.4% kepada RM15.42 bilion pada Mei 2023 yang merupakan bulan ke-37 berturut-turut mencatat pertumbuhan dua digit sejak Mei 2020.
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata eksport turut memaparkan tanda-tanda pemulihan dengan mencatat pengurangan marginal sebanyak 0.7% kepada RM119.61 bilion berbanding penyusutan dua digit pada bulan lepas, didorong oleh peningkatan eksport dalam produk petroleum, barangan elektrik dan elektronik (E&E), jentera, kelengkapan dan peralatan serta barangan makanan diproses.
“Eksport ke negara-negara rakan dagang utama khasnya China, Amerika Syarikat (AS) dan Jepun merekodkan peningkatan,” katanya dalam kenyataan Prestasi Perdagangan Luar Bagi Mei 2023 dan Tempoh Jan-Mei 2023, hari ini, Bernama melaporkan.
Bagaimanapun, MITI berkata import susut 3.3% tahun ke tahun kepada RM104.19 bilion pada Mei 2023, menjadikan jumlah dagangan turun dua peratus tahun ke tahun kepada RM223.8 bilion dalam bulan itu dan seiring dengan kelemahan permintaan global dan harga komoditi yang lebih rendah.
Prestasi perdagangan Malaysia pada Mei 2023 juga seiring dengan rakan serantau seperti China, Taiwan dan Korea Selatan yang turut mencatat pertumbuhan perdagangan negatif bagi bulan sama.
Bagi tempoh lima bulan pertama 2023, kementerian itu berkata jumlah perdagangan susut 1.7% tahun ke tahun kepada RM1.066 trilion manakala eksport turun 2.3% kepada RM579.39 bilion dan import susut 1% tahun ke tahun kepada RM486.96 bilion.
Lebihan dagangan berkurangan 8.7% tahun ke tahun kepada RM92.43 bilion.
Merujuk perdagangan dengan negara-negara ASEAN, MITI berkata aspek itu yang mewakili 28.4% atau RM63.61 bilion daripada jumlah keseluruhan, berkurangan sebanyak 5% tahun ke tahun dengan eksport turun 1.6% kepada RM36.38 bilion.
“Ini disebabkan oleh pengurangan permintaan bagi minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit, barangan besi dan keluli serta keluaran petroleum. Import pula susut 9.1% tahun ke tahun kepada RM27.24 bilion.
MITI menyatakan, bagi tempoh Januari hingga Mei 2023, perdagangan dengan Asean jatuh sebanyak 1.2% kepada RM293.08 bilion berbanding tempoh sama pada 2022 dengan eksport meningkat 1% kepada RM172.99 bilion, disokong oleh kenaikan eksport keluaran petroleum dan barangan E&E.
Import dari Asean juga susut 4.2% kepada RM120.08 bilion. Perdagangan dengan China yang menyumbang sebanyak 16.6% atau RM37.07 bilion kepada jumlah perdagangan Malaysia pula mencatat penurunan kecil sebanyak 0.2% tahun ke tahun pada Mei 2023 dengan eksport meningkat 1.5% kepada RM15.49 bilion.
Pertumbuhan ini telah dipacu oleh peningkatan permintaan bagi bijih logam dan serpihan logam, gas asli cecair (LNG) serta kimia dan bahan kimia.
Import dari China berkurangan sebanyak 1.4% kepada RM21.58 bilion pada tempoh tersebut. “Bagi tempoh Januari hingga Mei 2023, perdagangan itu turun 4.3% kepada RM179.76 bilion berbanding tempoh sama pada 2022 dengan eksport menguncup 8.9% kepada RM75.31 bilion manakala import dari China turun 0.6% kepada RM104.45 bilion.
Kementerian itu berkata perdagangan dengan AS yang merangkumi 9.3% daripada jumlah perdagangan Malaysia, meningkat sebanyak 4.4% tahun ke tahun kepada RM20.9 bilion pada Mei 2023.
Eksport ke AS juga kembali kukuh dengan peningkatan dua digit sebanyak 14.9% kepada RM13.77 bilion selepas mencatat pertumbuhan negatif pada bulan lepas, dipacu oleh kenaikan eksport yang kukuh khasnya bagi barangan E&E.
Import bagaimanapun turun 11.3% tahun ke tahun kepada RM7.13 bilion. Bagi tempoh Januari hingga Mei 2023, MITI berkata perdagangan dengan AS turun secara marginal sebanyak 0.5% kepada RM98.35 bilion berbanding tempoh sama pada manakala eksport meningkat 2.5% kepada RM63.98 bilion, disokong oleh kenaikan eksport barangan E&E dan keluaran petroleum.
“Import dari AS turun 5.6% kepada RM34.37 bilion pada Mei 2023,” katanya. - DagangNews.com