Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 3 Jun - Pembayar cukai yang terjejas akibat pandemik COVID-19 diberi kelonggaran pembayaran cukai dan penalti.
Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) berkata, kelonggaran itu bertujuan untuk meringankan beban pembayar cukai dalam menyelesaikan cukai tertunggak dan penalti cukai.
Kelonggaran yang ditawarkan adalah seperti berikut:
1) Penangguhan pembayaran penalti
- Penangguhan pembayaran penalti yang berkaitan dengan kewajipan cukai mereka ke tahun 2022, dengan syarat pembayar cukai terus mematuhi pembayaran amaun prinsipal cukai yang kena dibayar.
- Penalti-penalti yang termaktub dalam tawaran ini ialah penalti yang dikenakan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967, Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah 1976 dan Akta Setem 1949.
2) Penjadualan semula bayaran cukai
- Pertimbangan permohonan penjadualan semula bayaran cukai bagi pembayar cukai yang kehilangan punca pendapatan atau menghadapi isu untuk menyelesaikan cukai yang tertunggak akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
3) Semakan semula penalti yang dikenakan
- Pertimbangan penyemakan semula penalti yang dikenakan sekiranya pembayar cukai mempunyai alasan yang kukuh.
- Pembayar cukai dikehendaki membuat rayuan ke atas penalti yang dikenakan dan rayuan akan dipertimbangkan dengan melihat setiap asas kes.
Tambah LHDN, kelonggaran berkenaan hanya terpakai kepada pembayar cukai yang terjejas pendapatan akibat penularan pandemik COVID-19 dan pelaksanaan PKP.
Bagaimanapun, pembayar cukai yang tidak terjejas perlu meneruskan pembayaran cukai seperti yang dikehendaki oleh undang-undang yang berkuatkuasa.
"Pembayar cukai yang berhasrat untuk memohon kelonggaran ini disyorkan untuk menghubungi Pejabat Cawangan LHDNM yang mengendalikan fail cukai pendapatan mereka," jelas LHDN lagi. - DagangNews.com