Dalam tempoh lima bulan lagi, kapal tempur pesisir (LCS), KD Maharaja Lela akan berada pada permukaan air untuk menjalani ujian pemasangan sistem dan peralatan.
Seterusnya kapal ini menjalani ujian di laut selama 22 bulan sebelum ia ditauliahkan pada penghujung tahun 2026.
Rangka kerja tersebut digariskan oleh Lumut Naval Shipyard Sdn. Bhd. (LNS atau Lunas) iaitu entiti perniagaan baharu yang dijenamakan kembali daripada Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd. (BNSSB).
Proses ini sekiranya berjaya bakal menentukan nasib baki empat buah lagi kapal LCS dalam menentukan kesinambungan projek.
Syarikat milik kerajaan telah menyelesaikan pengambilalihan 68.85% kepentingan Boustead Holdings dalam pembuatan kapal tersebut.
LNS menggalas cabaran untuk menyiapkan kapal KD Maharaja Lela yang berdepan isu kelewatan.
Terbaru, Ocean Sunshine Sdn. Bhd. milik Kementerian Kewangan (MOF) akan mengeluarkan RM190.15 juta untuk membiayai modal kerja kontraktor LCS.
Sehingga November lalu, kos projek terkini LCS adalah RM11.266 bilion berbanding kos asal RM9.128 bilion dengan tambahan RM2.098 bilion.
Bagaimana pun, dalam kalangan pemerhati pertahanan tempatan tidak menolak kos projek LCS akan bertambah apatah lagi dengan perkembangan semasa projek yang tidak menentu.
Sebelum ini pun, kerajaan terdahulu memberi jaminan kos projek LCS tidak akan bertambah malah memberi keyakinan kesemua enam buah kapal akan disiapkan secepat mungkin.
Skandal LCS yang menyaksikan projek pembinaan kapal tempur itu gagal disiapkan BNSSB yang akhirnya terpaksa diselamatkan oleh kerajaan.
Kontrak pemulihan program LCS sebelum ini ditandatangani semasa Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA ‘23) antara Kementerian Pertahanan dan BNSSB.
Dalam pemulihan projek LCS, kerajaan mensasarkan kapal pertama akan dapat disiapkan pada November 2024 dan seterusnya dapat ditauliahkan ke dalam armada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dua tahun kemudian setelah lulus ujian di laut.
Imbas kembali semasa upacara peletakan lunas kapal LCS ketiga pada Disember 2017, pihak BNNSB dalam kenyataan sangat yakin bahawa LCS pertama, KD Maharaja Lela akan mula melalui sesi pelayaran pertama setahun kemudian.
Peletakan lunas ini menandakan bermulanya penyambungan blok kapal tersebut yang dibina secara modular.
Pelayaran itu merupakan sesi percubaan di laut dan pelabuhan bagi memastikan kapal tersebut dalam keadaan terbaik sebelum dijangka diserahkan kepada TLDM pada tahun 2019.
LCS kedua dijangka dilepaskan ke dalam laut pada Ogos 2018 manakala LCS ketiga pula pada Jun 2019.
Malah, kerja-kerja pembinaan LCS keempat sudah dimulakan pada Oktober 2018 menerusi pembikinan dan pemasangan panel.
BNSSB ketika itu menjelaskan bahawa kapal KD Maharaja Lela telah siap 75 peratus dan kini sedang berada di fasa akhir pembinaan.
Bagaimana pun, jangkaan tersebut tidak kesampaian apabila KD Maharaja Lela yang sepatutnya menyertai LIMA 2019 rupa-rupanya terbengkalai.
Projek LCS sehingga kini tidak dapat membuktikan kemampuan industri pertahanan tempatan membina kapal perang moden dan menyumbang kepada kesiagaan dan pengukuhan aset TLDM.
Kapal LCS yang sepatutnya meningkatkan tahap keupayaan operasi-operasi TLDM, melindungi kepentingan maritim Malaysia seiring aspirasi TLDM ke arah maritim yang bertaraf dunia gagal diterjemahkan.
Pembinaan kapal-kapal ini di dalam negara juga gagal memberi impak positif kepada vendor tempatan walaupun mewujudkan ribuan peluang pekerjaan.
Jujurnya, pelaksanaan projek LCS yang berdepan masalah ini membayangi kegagalan program Kapal Peronda Generasi Baharu (NGPV) TLDM yang akhirnya diselamatkan kerajaan.
Pada tahun 1998, kerajaan memberi kontrak pembinaan 27 buah kapal NGPV dengan anggaran kos keseluruhan sebanyak RM30 bilion kepada PSC-Naval Dockyard.
Fasa pertama melibatkan pembinaan enam buah kapal berasaskan rekaan OPV kelas Meko 100 dari Jerman dengan kos RM6 bilion.
Kos RM6 bilion ini pada masa itu sangat besar, namun dengan keyakinan projek gergasi ini termasuk pembelian hak reka bentuk kapal maka ia dilihat berbaloi.
Cadangan TLDM pada masa itu ialah membina 27 buah kapal NGPV kesemuanya, namun kegagalan tersebut menyebabkan hanya enam dibina manakala projek NGPV seterusnya dibatalkan.
Pada hari ini, kapal-kapal NGPV disifatkan sebagai kapal perang tempang kerana walaupun berjaya disiapkan tetapi tidak secanggih sepertimana ketika dirancang.
Keputusan membatalkan projek NGPV pula menimbulkan banyak kepincangan kepada TLDM apabila disebabkan perkara tersebut armada keselamatan negara ini terus berdepan dengan isu kekurangan kapal-kapal perang.
Rakyat mahukan negara mempunyai keupayaan pertahanan maritim yang kuat agar TLDM dapat memikul tanggungjawab menjaga perairan dan sumber ekonominya.
Sehubungan itu, penjenamaan BNSSB sebagai LNS diharap dapat menyelesaikan kemelut projek LCS yang mana kita tidak mahu berdepan lagi dengan penangguhan. - DagangNews.com